Wasiyyah Shoppe Berhad Beri Dana Penyelidikan Kepada UKM


Oleh Melissa Heidi
Foto oleh Raai

BANGI, 3 Mei 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Pengajian Islam (FPI) mengukuhkan kerjasama dengan Wasiyyah Shoppe Berhad melalui Memorandun Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menjalankan dan memberi dana untuk Kajian Hibah Bersyarat dan Hibah Harta Bercagar.

Pengarah Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad, Ariffin Sabirin berkata antara kandungan MoU tersebut ialah memberi geran penyelidikan kepada Jabatan Syariah FPI dan menaja biasiswa kepada pelajar FPI.

“Tajaan biasiswa untuk mahasiswa dari Wasiyyah Shoppe Berhad ini adalah sedekah bagi pihak kami dan kami juga terbuka dalam menjalin apa sahaja kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Wasiyah Shoppe Berhad telah menjalin kerjasama dengan UKM sejak tahun 2005 melalui Jabatan Syariah, FPI.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata pada tahun lalu, sebanyak 326 interaksi, pertemuan atau sesi-sesi perkongsian bersama pihak industri dan juga agensi telah dilaksanakan di UKM

“Ini sebenarnya sesuai dengan apa yang telah dihasratkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi iaitu untuk kita bentuk semula pendidikan,” katanya.

Beliau juga menyeru kepada pakar-pakar dalam pengajian Islam untuk menjadikan bidang pengajian Islam sebagai nadi penggerak yang merentas bidang ilmu yang lain