Webinar Inisiatif Kampus Sisa Sifar UKM Kongsi Pendekatan Kelestarian Kampus


Oleh Nurhairani Syam Lahmuddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 2 September 2021 – Pendekatan kelestarian kampus bagi meminimumkan penghasilan sisa telah dibincangkan dalam satu webinar yang bertajuk ‘Inisiatif Kampus Sisa Sifar UKM: Penyelidikan Rentas Bidang Bersama Komuniti’ anjuran Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), baru-baru ini.

Webinar yang berlangsung melalui Webex itu menampilkan Prof. Dr. Noor Ezlin Ahmad Basri, Ketua Pusat Penyelidikan Bandar Pintar dan Lestari (SUTRA), FKAB sebagai ahli panel.

Menurut Prof. Dr. Noor Ezlin, beberapa penyelidikan rentas bidang oleh kumpulan penyelidik telah dilaksanakan sebagai inisiatif Kampus Sisa Sifar, antaranya Kajian Komposisi Sisa pepejal UKM (2009-2011) yang merupakan kerjasama antara UKM dan Universitat Duisburg Essen (Germany), Institut Teknologi Sepuluh Nopember, Indonesia dengan Alam Flora Sdn Bhd.

Katanya, para penyelidik mendapati terdapat peningkatan penjanaan sisa pepejal dalam UKM iaitu daripada 3.5 tan sehari kepada 8.0 tan sehari.

“Penyelidikan ini juga menunjukkan hampir separuh sisa pepejal ialah sisa makanan iaitu sebanyak 47 peratus. Oleh itu, UKM perlu menangani isu sisa pepejal ini melalui pelaksanaan aktiviti yang dapat memupuk komuniti untuk mengurangkan sisa pepejal melalui konsep 5R iaitu iaitu refuse (menolak), reduce (mengurangkan), reuse (guna semula), recycle (kitar semula) dan recovery (pemulihan/diperbaharui),” katanya.

Beliau berkata antara program yang telah dijalankan di UKM ialah Tapau-Mania Campaign pada tahun 2010 hingga 2012, Training for Building Capacity for Recycling (2016), dan Program Ekorelawan UKM (2018).