Webinar UKM Global Bersama Toshiba International Foundation Bincang Isu Pengantarabangsaan IPT di Malaysia dan Jepun


Oleh UKM Global

BANGI, 10 September 2021 – Webinar UKM Global yang diadakan bersama Toshiba International Foundation baru-baru ini telah membincangkan tentang isu-isu berkaitan pengantarabangsaan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia dan Jepun.

Dengan tajuk Pengalaman Pengantarabangsaan Institusi Pengajian Tinggi di Jepun dan Malaysia, siri 1 webinar itu telah mngupas isu berkaitan jaringan strategik antara kedua-dua negara, kesan pandemik ke atas pengajian, pembelajaran dalam talian, ranking, mobiliti pelajar, matlamat pembangunan mampan dan juga masa depan IPT di kedua-dua negara.

Barisan ahli panel terdiri daripada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UKM, Prof. Dr. Mohammad Kassim, Wakil Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Sains Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Narimah Samat, Naib Presiden dan Pengarah Eksekutif (Hal Ehwal Global) Universiti of Tsukuba, Prof. Caroline F. Benton dan Naib Presiden Strategi Antarabangsa Universiti Kyoto, Prof. Yasuyuki Kono, manakala moderatornya ialah Pengarah UKM Global, Prof. Madya Dr. Abdul Latiff Ahmad.

Pada sesi tersebut, Prof.  Mohammad menyatakan bahawa penawaran kursus dalam talian membenarkan pelajar untuk mengambil kursus dari pelbagai universiti.

Katanya, teknologi itu membuka lebih akses untuk pelajar mendapatkan illmu dan pengalaman belajar di universiti antarabangsa tanpa perlu pergi ke luar negara.

Manakala Prof. Yasuyuki Kono pula menegaskan bahawa pembelajaran dalan talian bukanlah pengganti kepada pembelajaran mobiliti secara fizikal.

Beliau berkata ahli akademik patut mengambil kesempatan untuk menggunakan teknologi dalam talian untuk mengolah kursus yang lebih kreatif dan interaktif.

Sementara itu, Prof. Caroline F.  Benton memaklumkan bahawa pihak Universiti of Tsukuba telah menjalankan kajian di universiti itu untuk mendapat maklum balas pelajar berkaitan pembelajaran dalam talian.

“Antara dapatan utama adalah pelajar menunjukkan minat yang positif kerana ia memberikan fleksibiliti kepada pelajar untuk memuat turun kuliah dan menontonnya pada waktu yang bersesuaian,” katanya.

Prof. Dato’ Dr. Narimah pula menyatakan tentang kepentingan komunikasi yang berterusan bersama pelajar antarabangsa untuk memastikan bahawa aktiviti-aktiviti terus berjalan walaupun di dalam talian.

Di akhir webinar, para panelis telah bersetuju bahawa aktiviti pengantarabangsaan dalam kalangan universiti di Malaysia dan Jepun harus diteruskan walaupun dalam keadaan pandemik.  IPT perlu mengaplikasikan norma baharu secara strategik di dalam memperkukuhkan jaringan strategik antarabangsa.

Siri webinar yang diadakan melalui aplikasi Zoom itu turut dihadiri oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts Dr. Mohd Ekhwan Toriman yang turut menyampaikan ucapan aluan.

Webinar in telah dihadiri oleh peserta dari lebih 12 buah negara.  Selain Malaysia dan Jepun, negara lain yang turut hadir adalah Filipina, Indonesia, Kanada, Bangladesh, Belgium, Singapore dan Thailand. Webinar ini boleh dilayari di https://fb.watch/7MLoWBvhij/