YDSM Guna Kaedah Baru Ajar Bahasa Inggeris Ciptaan UKM

01Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

KUALA TERENGGANU, 15 Jun 2015 — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) akan mengendalikan kaedah baharu bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dikalangan sekolah menengah di negeri Terengganu melalui program dinamakan  ‘Bahasa Anda, Budaya Saya’.

Sehubungan itu Memorandum Perjanjian (MoA) dimeterai oleh UKM dan YDSM di sini semalam, yang mana yayasan tersebut memberi peruntukkan RM660,000 bagi membekalkan buku-buku kepada para pelajar dalam lima sekolah di negeri itu.

UKM diwakili oleh Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali manakala  Dato’ Haji Mohd Fadzli Yusof, Wakil Pengerusi, Lembaga Pemegang Amanah YDSM menandatangankan bagi pihak yayasan itu.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abdin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah berkenan menyaksikan upacara tandatangan tersebut.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah YDSM  Prof Emeritus Dato’ Dr  Abdul Rahman Embong, yang juga Felo Utama Institut kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM, Pengarah IKMAS Prof Dr Rashila Ramli dan Ketua projek ‘Bahasa Anda, Budaya Saya’ Prof Datuk Dr Zawiyah Yahya, yang juga Felo Utama Institut Kajian Oksidental (IKON).

Progam ‘Bahasa Anda, Budaya Saya’ merupakan kaedah bacaan tambahan dalam bahasa Inggeris yang ditulis khas untuk kegunaan semua sekolah menengah di Terengganu.

Ia bukan menggantikan apa-apa mata pelajaran dalam kurikulum sedia ada sekolah menengah.

Program lima tahun ini dijangka dimulakan pada bulan Januari 2016.

Tumpuannya ialah untuk meningkatkan budaya melalui bahan bacaan budaya tempatan dan buku teks antara-disiplin.

Pakar-pakar dan ahli akademik UKM akan melatih guru-guru sekolah yang berkenaan bagi cara mengajar program ini, yang mana Bahasa Inggeris diajar dalam konteks budaya tempatan.

Bagi kurikulum sedia ada, Bahasa Inggeris biasa diajar dengan latar belakang yang asing pada pelajar tempatan.

Yayasan DiRaja Sultan Mizan merupakan syarikat amal yang berfungsi sebagai sebuah badan yang mengumpul sumbangan dari kerajaan, semua jabatan kerajaan, badan berkanun, agensi kerajaan, syarikat swasta, pertubuhan swasta, institusi-institusi serta individu untuk digembleng dan diuruskan dengan sebaiknya bagi manfaat rakyat di Negeri Terengganu Darul Iman khususnya dan di Malaysia amnya.

Sumbangan-sumbangan ini boleh dibuat dalam pelbagai bentuk seperti kewangan, kebendaan, kepakaran dan perkhidmatan.

02

03

04