UKM-UEM Land Pupuk Kesedaran Perubahan Iklim

SELASA, 18 MEI 2010 16:44

Nusajaya (Johor), 24 April 2010.

Perubahan iklim adalah satu bentuk ancaman alam sekitar yang kian meruncing serta member kesan besar kepada kehidupan. Kejahilan serta kegagalan menanganinya memberi kesan buruk kepada dunia dan tentunya Malaysia tidak terkecuali.  Atas kesedaran itu, kerjasama UKM-UEM Land diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan Program Hijau UKM-UEM Land Bagi Memupuk Kesedaran serta Tindakan Masyarakat dan Sekolah Terhadap Perubahan Iklim pada 24 April 2010.

Program berkenaan disertai pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Perintis, Sekolah Kebangsaan Nusantara dan Sekolah Kebangsaan Tiram Duku yang merupakan sekolah PINTAR UEM Land terletak di kawasan Nusajaya Johor Bahru.  Kedua-dua organisasi ini berganding bahu melaksanakan pelbagai usaha mempertingkatkan kestabilan alam sekitar untuk kesejahteraan kehidupan masyarakat.

Bagi UEM Land, kerjasama dengan UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan sangat penting untuk berkongsi teknologi dan kepakaran dalam mewujudkan pembangunan dan persekitaran lestari di Nusajaya serta menerapkan nilai kesejahteraan komuniti setempat dan alam sekitar.

 Kerjasama tersebut telah menghasilkan Pelan Hijau Nusajaya yang bertujuan memupuk kesedaran serta tindakan masyarakat dan sekolah terhadap perubahan iklim. Perkara ini dinyatakan oleh Dato’ Wan Abdullah Wan Ibrahim, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Land Holdings Berhad dalam ucapan semasa majlis perasmian program tersebut di Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Perintis 1.

Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin pula dalam ucapan perasmiannya menekankan bahawa program ini adalah salah satu kegiatan di bawah nic Perubahan Iklim yang harus dapat dimanfaatkan oleh masyarakat menerusi penyelidikan yang dijalankan.

Sesuai dengan institusi pendidikan, UKM memikul tanggungjawab untuk menggembleng tenaga dengan sesiapa sahaja yang mendokong misi yang sama melaksanakan program-program yang bersifat pendidikan termasuk di kalangan masyarakat di luar universiti.  Justeru, 2010 menyaksikan beberapa aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan oleh UKM termasuk anjuran bersama UEM Land dan Dewan Undangan Negeri Nusajaya.

Tan Sri Sharifah menegaskan walaupun usaha yang dijalankan ini dilihat kecil, namun sekurang-kurangnya usaha tersebut telah menyumbang kepada misi kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan masyarakat.

Program sehari tersebut telah diisi dengan aktiviti penanaman pokok, tayangan filem, kraf-eko, mempelajari penggunaan instrumen menyukat suhu, hujan dan angin dan pelbagai pertandingan yang menyediakan hadiah-hadiah lumayan.