Makmal Ujian Ketoksikan UKM Mendapat Pengitirafan Antarabangsa

Khamis, 09 Disember 2010 21:07

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Saliman Leman

BANGI, 9 Disember 2010 – Makmal Bioserasi, makmal ujian ketoksikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mendapat pengitirafan antarabangsa sebagai sebuah makmal bertaraf dunia setelah menerima Sijil MS ISO/IEC 17025 dari Jabatan Standard Malaysia (JSM) hari ini.

Sijil akreditasi Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) yang berdasarkan Standard MS ISO/IEC 17025:2005 itu disampaikan oleh Ketua Pengarah JSM, Puan Fadilah Baharin kepada Timbalan Naib Canselor UKM (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Rahmah Mohamad dalam satu majlis ringkas di sini.

Turut hadir ialah Ketua Makmal Bioserasi Prof Madya Dr Anuar Osman dan ahli Lembaga Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) Dato’ Masu’t Abu Samah.

Puan Fadilah berkata Makmal Bioserasi UKM adalah makmal kedua di negara selain makmal SIRIM yang ditauliahkan piawaian ISO itu.

Sambil mengucapkan tahniah kepada UKM atas kejayaan Makmal Bioserasi, beliau berkata taraf itu perlu dihebah kerana sebuah makmal yang diberi akreditasi demikian adalah sebuah makmal yang mempunyai kebolehan dalam usaha pengujian yang dijalankan.

“Sistem pengurusan yang dilaksanakan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ini adalah kerana makmal ini mempunyai kakitangan yang berkemampuan dan terlatih, melaksanakan garis panduan dan kaedah pengujian yang ditetapkan bagi memastikan keputusan ujian mempunyai ketetapan tinggi dan boleh dipercayai,” katanya.

Peranan JSM pula, katanya, ialah menyediakan sistem yang membolehkan makmal-makmal di Malaysia memenuhi spesifikasi global dan seterusnya bersaing dengan makmal-makmal lain di peringkat antarabangsa.

Puan Fadilah berkata, skim akreditasi itu juga memberikan faedah kepada industri dan pengguna dari segi penjimatan kos di mana kedua-dua pihak berasa terjamin terhadap produk samaada daripada segi kualiti atau kepercayaan dan keselamatan kerana telah diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“SAMM amat menitikberatkan kecekapan makmal dan kualiti serta data-data pengujian yang dikeluarkan boleh dipercayai.”

Cabaran Makmal Bioserasi dimasa hadapan ialah mempromosikan perkhidmatannya serta mengekalkan kedudukannya itu. Beliau menjemput UKM dan FMM berganding bahu dengan JSM untuk mempromosikan makmal itu.

Katanya, JSM telah mengadakan perjanjian persefahaman pelbagai hala atau “Mutual Recognition Arrangement”  (MRA) di bawah “Asia Pacific Laboratory Accreditation Cooperation”  sejak lapan tahun dulu. Ini bermakna hasil keputusan ujian Makmal Bioserasi juga mendapat akreditasi diiktiraf oleh badan-badan akreditasi negara lain
di dalam perjanjian tersebut.

Prof Dr Rahmah dalam ucapannya berkata kejayaan Makmal Bioserasi memperolehi akreditasi ini merupakan kesungguhan dan kegigihan kumpulan makmal yang mempelopori bidang ketoksikan melalui projek R&D sejak tahun 1997 dan projek pra-komersialan pada tahun 2007.

Makmal Bioerasi telah membangunkan skop ujian Bioserasi dan ketoksikan mengikut standard antarabangsa dengan mematuhi sistem kualiti yang diterima pakai oleh penguat kuasa tempatan dan luar negara.

“Kejayaan ini telah dapat membantu negara terutamanya pihak industri dan institusi penyelidikan yang memerlukan khidmat ujian ketoksikan,” katanya.

Prof Dr Rahmah berkata beliau difahamkan bahawa Akta Medical Device akan dikuatkuasakan sedikit masa lagi dan undang-undang tersebut akan memerlukan khidmat makmal ujian dalam pengesahan piawai keselamatan.

“Kini, dengan adanya makmal bertauliah, saya harap pelanggan dan agensi penguat kuasa akan mengambil peluang menggunakan perkhidmatan dan keupayaan yang sedia ada di Makmal Bioserasi ini,” tambahnya.

Dato’ Masu’t dalam ucapannya pula berkata ahli-ahli FMM memerlukan khidmat makmal itu kerana ia menjimatkan kos dan pengaliran mata wang ke luar negara.

Perkhidmatan Makmal Bioserasi juga berfaedah kepada pengilang dan pengeluar serta pengguna untuk memastikan bahawa produk mereka selamat.

“Ia memberi keyakinan dan mengurangkan risiko ujian tidak tepat,” katanya sambil menegaskan bahawa FMM akan membantu mempromosikan perkhidmatan Makmal Bioserasi bukan hanya di dalam negara tetapi juga di rantau ASEAN dan Asia-Pasifik.

Dr Anuar pula berkata makmal tersebut ditubuhkan pada bulan Jun 2003 bagi menjalankan penyelidikan berkaitan penilaian keserasian bahan gantian tulang dalam kerjasama R&D dengan empat institusi penyelidikan tempatan.

Dengan geran dari Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI) waktu itu, skop-skop ujian ketoksikan telah dikembangkan mengikut Standard Antarabangsa hingga ke 26 bidang ketika ini.

“Standard dan garis panduan ujian yang digunakan termasuk ISO10993, FDA dan OECD, dengan mengaplikasikan kaedah-kaedah dan protokol yang sah,” katanya.

Beliau juga berkata walaupun akreditasi yang disampaikan hari  ini melibatkan hanya lapan skop ujian, mereka akan memohon untuk menambahkan lagi skop-skop ujian berakreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia.