Tamak dan Gila Kuasa Punca Kebuluran Global, kata Prof Swiss

JUMAAT, 24 DISEMBER 2010 16:52

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Saliman Leman

BANGI, 24 Dis. 2010 –   Krisis makanan global yang menyebabkan hampir satu bilion orang kelaparan dan kebuluran adalah berpunca dari ketamakan dan kerakusan manusia gila kuasa dan bukan hanya kerana cuaca, alam sekitar atau pun kelemahan pengedaran dan harga makanan.

Prof  Emeritus Walter Leimgruber dari Jabatan Kajian Sains Geo, Unit Geografi, Universiti Fribourg (Switzerland) berkata sebab itu penyelesaian ‘krisis makanan global’ tidak harus ditumpukan hanya kepada persoalan alam sekitar dan teknologi saja di mana cuaca, pengagihan makanan yang tidak cekap hingga membawa kepada harga tinggi dipersalahkan sebagai punca kebuluran di dunia.

“Walaupun cuaca dan alam sekitar mempunyai peranan dalam krisis itu tetapi penyebab utama kenapa hampir satu bilion manusia di dunia kelaparan dan tidak boleh mendapat makanan seimbang ialah kerana kerakusan manusia yang tamak dan gila kuasa,” katanya membentang kertas utamanya di Persidangan Antarabangsa mengenai Etika dan Profesionalisme di sini awal bulan ini.

Persidangan yang berthema “Sains, Teknologi dan Masyarakat yang Berkekalan” itu dianjurkan Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  dan Unit Serantau Sosial dan Sains manusia di Asia dan Pasifik (RUSSAP), UNESCO. Ia dihadiri oleh peserta dari India, Pakistan, Taiwan, Japan, Thailand, Iran dan Malaysia.

Prof Leimgruber berkata keghairahan mahukan kuasa dan ketamakan keuntungan telah mengubah persoalan kekurangan makanan ke medan permainan politik dan kekuasaan hingga memberi akibat yang amat buruk kepada orang miskin dan yang tidak bernasib baik.

“Jadi, penyelesaian krisis makanan global itu terletak bukan hanya kepada teknologi sahaja tetapi lebih penting lagi ialah kepada sikap manusia di seluruh dunia terhadap makanan dan pemakanan.”

Dalam kontek ini, apa yang amat penting sekali ialah mengeluarkan makanan untuk manusia dan bukan semata-mata kerana mahukan keuntungan atau kuasa politik.

Seorang penceramah lain pula cuba memudahkan isu-isu yang berat dan komplek mengenai etika dan profesionalisma dalam alam bioetika dengan menyaran bahawa apa yang diperlukan sekarang ialah “LOVE” (atau “Life Oriented Value Education”) yang mementingkan “nilai-nilai pendidikan yang ditumpukan kepada kehidupan” .

Jayapaul Azariah, bekas profesor and ketua Universiti Madras, berkata faktor yang dipertaruhkan ialah nyawa.

“Gene yang mementingkan diri telah menghapuskan kebolehan manusia menjadi penyayang. Jadi satu kurikulum yang boleh memberi makna kepada tujuan kehidupan amat diperlukan sekarang,” katanya.

Prof Azariah, yang juga bekas presiden Persatuan Etika Bio Se-India dan bekas presiden Persatuan Bio Etika India, berpendapat bahawa kurikulum etika bio mesti melindungi maruah manusia, menghormati kehidupan selain bersikap mengambil berat terhadap nyawa manusia.

“Kurikulum yang boleh menanam semula nilai-nilai yang menghargai nyawa perlu diujudkan dalam semua program pendidikian dewasa ini,” katanya dalam kerta utama bertajuk “Etika Global: Kehidupan, Cinta dan Pengetahuan.”

Beliau telah menyentuh  berbagai isu yang timbul sekarang seperti eutanasia wajib (membolehkan nyawa seseorang ditamatkan) bagi yang berumur 80 ke atas yang disokong oleh beberapa kumpulan di Australia,  membantu orang yang mahu membunuh diri serta juga usaha mengubah tanaman secara genetik (GMC).

Beliau juga menyentuh mengenai kimia agro dan kesihatan manusia, bahaya mentakrif kanak-kanak yang baru berumur 7 tahun tetapi sudah datang haid sebagai dewasa, persoalan ibu tumpang yang menjual rahim mereka serta penderma air mani.

Datuk Dr Mohd Tap Salleh, Ketua Institut Integriti Malaysia, dalam kertas utamanya menyentuh mengenai betapa perlunya nilai murni, etika dan pentadbiran luhur diujudkan dalam perkhidmatan awam dan bagaimana penjawat awam harus telus, tulus ikhlas dan sentiasa besikap bertanggungjawab bukan saja kepada pegawai atasan mahu pun bawahan mereka tetapi juga kepada orang awam yang merupakan pelanggan mereka.

“Sebuah negara yang mempunyai integriti tinggi akan lebih mudah memikat  pelabur sebagaimana dibuktikan oleh indeks persepsi rasuah oleh badan ketelusan antarabangsa (Transparency International) di mana negara yang dianggap paling korup adalah juga negara yang termundur dari segi sosial dan ekonominya,” katanya.

Baginya perkhidmatan awam yang baik bermakna kebolehan menguruskan negara dan segala sumbernya dengan cekap, terbuka, bertanggungjawab, telus, adil dan responsif kepada keperluan rakyat.

Beliau mahu perkhidmatan awam mengambil langkah proaktif “mendidik” orang awam mengenai bagaimana dasar dan program awam dirangka dan dilaksanakan. “Hanya dengan kefahaman demikian sahaja baru rakyat boleh diharapkan memberi sumbangan berkesan selain dari mengelakkan perasangka dan pandangan serong terhadap perkhidmatan awam.”

Dr Mohd Tap juga percaya bahawa pemerintahan dan khidmat yang baik adalah suatu komintmen bersama di mana peminpin politik wajib meminpin melalui teladan dan meletakkan kepentingan negara diatas segala-galanya manakala kakitangan awam pula mesti mengamal sikap murni dan beretika ketika memberikan khidmat mereka.

Dr Darryl Macer, penasihat serantau Unit Sosial dan Sains Manusia Asia dan Pasifik , RUSHSAP, berkata melindungi maruah seseorang adalah matlamat  sejagat yang dipersetujui oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Ia menuntut rakyat diberikan kuasa dan hak menentukan kedudukan mereka,” katanya dalam kertas utamanya bertajuk “Membuat Keputusan Etika untuk Penjagaan Pesakit dan Kesihatan Awam”.

“Matlamat bersama ialah untuk mengembangkan kebolehan semua lapisan masyarakat untuk maju secara beretika supaya mereka boleh membuat keputusan mereka sendiri dan dengan itu akan lebih bertanggung jawab terhadap apa yang mereka putuskan,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa semua lapisan masyarakat menghadapi isu etika bila berdepan dengan sesuatu pemilihan atau bila hendak membuat sesuatu keputusan dan dengan itu apa yang diperlukan ialah rasa tanggungjawab.

Pendidikan juga berperanan membentuk kematangan minda penuntut/pelajar bukan saja sebagai individu tetapi juga sebagai anggota yang bertanggung jawab kepada sesebuah masyarakat,” tambahnya.

Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dato’  Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam ucap rasminya berkata perbincangan mengenai isu-isu berkaitan etika dan profesionalisme adalah tepat pada masanya dengan ujudnya beberapa skandal membabitkan badan-badan korporat gergasi antarabangsa seperti Enron, Arthur Anderson, Morgan Stanley, Worldcom dan beberapa buah lagi yang bukan saja mendatangkan kesan buruk kepada orang ramai tetapi telah juga menjejas ekonomi dunia.