Profesor UKM antara enam saintis Islam di dunia menangi anugerah ISESCO, sebuah badan di bawah OIC

JUMAAT, 02 JULAI 2010 18:52

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 2 Julai, 2010  – Seorang tenaga pengajar UKM, Prof. Dr Mohamed Amin Embi, 46, Timbalan Pengarah (e-Pembelajaran) Pusat Pembangunan Akademik telah diistihar sebagai pemenang bagi kategori Teknologi, Anugerah Sains dan Teknologi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) yang berpejabat di Rabat, Maghribi.

Beliau adalah di antara enam orang saintis Islam sedunia yang diistiharkan sebagai pemenang hadiah Pusat Pengembangan Penyeledikan Sains, SESCO (ICPSR), sebuah badan di bawah nauangan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), untuk tahun ini.

Prof Mohamed Amin akan menerima sekeping sijil, sebuah pingat emas dan wang tunai AS$5,000. Beliau dan lima orang lagi pemenang akan menerima hadiah mereka dalam satu upacara sempena sidang Menteri Pengajian Tinggi OIC kelima, di Kuala Lumpur, Oktober depan.

Lima orang lagi pemenang adalah Dr Hosein Baharvand dari Iran untuk Biologi, Prof. Dr Mirsaidon Ulmas dari Tajikistan (Kimia), Prof. Dr Muhammad Qasim Jan dari Pakistan (Kaji Bumi), Dr Odibat Zaid dari Jordan (Ilmu Hisab) dan Dr Shabat Mohammed dari Palestin untuk Ilmu Fizik.

Prof Amin sebelum ini pernah mendapat berbagai anugerah dan pengitirafan oleh UKM dan beberapa Kementerian kerana mewujudkan berbagai sistem pembelajaran melalui internet (e-learning).

Melalui penyelidikan dan penerbitannya dalam bidang e-pembelajaran, beliau telah memperkenalkan pelbagai inovasi pengajaran yang memberi manfaat bukan saja kepada pelajar/pensyarah UKM khususnya tetapi juga pelajar/pensyarah di IPT di seluruh negara amnya.

Di peringkat antarabangsa, melalui Program Penyertaan Unesco, Prof Amin membangunkan portal pengajaran dan pembelajaran maya di rantau Asean yang dikenali sebagai VirTEC.

Beliau telah memenangi pingat emas di pameran penyelidikan dan inovasi UKM dan pingat perak di pertandingan rekacipta & inovasi anjuran Kementerian Sains, Teknologi & Alam Sekitar.

Inovasi ini juga telah mendapat liputan meluas media misalnya dalam Utusan Malaysia yang memaparkan:”VirTEC: Pusat Pendidikan Maya Untuk Guru”.

Bagi membantu pelajaran bahasa secara maya, Prof  Amin membangunkan program belajar-cara-belajar bahasa Inggeris on-line melalui portal dinamakan e-Learn. Salah satu keluaran Sunday Star menyifatkan kandungan portal itu sebagai Secrets of Smart Language Learners.

Inovasi pembelajaran ini mendapat pengiktirafan dengan Prof  Amin diberi  Anugerah Penyelidik Muda UKM. Dalam usaha membantu pendidikan bahasa Inggeris secara maya di Malaysia, beliau juga membangunkan pusat sumber atas talian untuk guru dan pendidik TESL melalui portal ELT-TreC.

Sebagai lanjutan, beliau membangunkan alat pengarangan membolehkan pensyarah IPT di seluruh negara mengurus bahan kuliah secara online dikenali sebagai WeB-CEPT. Penyelidikan serta inovasi e-pembelajaran itu memenanginya  Anugerah Kreativiti & Rekacipta UKM.

Bagi memudahkan pensyarah di UKM mengendalikan kursus secara on-line, Prof Amin membangunkan sistem pengurusan e-pembelajaran dikenali sebagai e-Mas yang memenangi Anugerah Pengurusan Maklumat UKM.

Melalui projek penyelidikan sabatikalnhya, Prof  Amin membangunkan sebuah lagi inovasi SalMas (Self-access Learning Management System). Inovasi ini bukan saja digunapakai oleh pelajar dan pensyarah UKM tetapi IPTA lain seperti Universiti Tun Hussein Onn dan UNITEN.

Ciptaan itu memenangi Anugerah Rekacipta & Inovasi dan Pingat Emas di Ekspo Teknologi Malaysia 2006 anjuran Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi.

Pada tahun 2009, beliau telah membangunkan inovasi e-pembelajaran yang unik dan ulung di sini dikenali sebagai SLIM atau Second Language Instruction Management System yang merupakan suatu sistem pengurusan instruksi bahasa kedua berasaskan tempat membolehkan pembelajaran kemahiran bahasa termasuk membaca, mendengar dan bertutur dikendalikan scara interaktif di atas talian.

Bersama isterinya Rohayati Haroun, Prof  Amin juga telah perkenalkan kaedah cepat baca serta membangunkan perisian cepat baca pertama di Malaysia dikenali sebagai e-Xra C.E.P.A.T (Computer Enchanced  Phonological Awareness Training).

Sehingga kini, program tersebut telah membantu lebih 25,000 kanak-kanak di Malaysia yang bermasalah dalam pembelajaran, disleksia dan autisme dapat menguasai kemahiran membaca dalam tempoh antara 3-6 bulan.

Ia digunapakai secara meluas di tadika, pra-sekolah, kelas pemulihan serta pusat tuisyen. Tidak hairanlah ia diberi anugerah Pingat Emas di Ekspo Teknologi Malaysia 2006.

Dalam usaha memartabatkan e-Pembelajaran di Malaysia, Prof Amin telah mengasas dan membangunkan beberapa portal seperti e-Learning Online kiosk yang boleh diakses percuma di http://www.ukm.my/eLOK, Portal Malaysian e-Learning Research Network yang boleh diakses percuma di http://www.ukm.my/myelearn dan portal untuk penyelidikan bidang sains sosial di Malaysia dikenali sebagai JaPSS yang boleh dilayari melalui http://www.ukm.my/japss.

Jurnal terbuka pula dikenali sebagai Malaysian Online Journal of e-Learning (MOJel).

Prof  Amin antara lain telah menerima Anugerah Pengajar Cemerlang UKM 2005 dan 2006 serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UKM 2006.

Hasil berbagai penyelidikannya telah diterbitkan dalam pelbagai makalah dan karya asli. Antara buku berkaitan e-Pembelajaran yang dihasilkannya adalah Computer Mediated Communication (2009), Course Management System (2006), Readings in Online Language Teaching & Learning  (2008); Teknologi Maklumat Komunikasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (2008), Panduan Amalan Pengajaran & Pembelajaran Berkesan (2009) dan Online Teaching & Learning in ELT (2006).

Berdasarkan kepada kecemerlangan serta sumbangan penyelidikan dan inovasi e-Pembelajaran di peringkat kebangsaan beliau telah dinobatkan sebagai pemenang sulung Anugerah Akademik Negara 2006 untuk kategori Inovasi Pengajaran.

Beliau juga telah diberikan Anugerah Melayu Cemerlang 2008 untuk kategori Pendidikan sebagai menghargai sumbangannya kepada pembangunan pendidikan negara.

Dilahirkan di Pulau Pinang, Prof Amin mendapat ijazah pertamanya dari Universiti Brock pada 1986. Setahun kemudian beliau telah menerima Diploma Pendidikan dengan kepujian dari UKM dan kemudiannya mengajar di Sekolah Menengah Sungai Aceh, Nibong Tebal selama empat tahun sebelum memasuki UKM sebagai seorang tutor.

Beliau kemudiannya ditaja melanjutkan pelajaran ke peringkat Ph.D di Universiti Leeds dan kembali bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Perkaedahan dan Amalan Pendidikan UKM. Oleh kerana kecemerlangan penyelidikan dan penerbitan dalam bidang e-pembelajaran beliau dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Madya pada tahun 2000 dan Profesor pada tahun 2006.

Sehingga kini beliau telah menerbitkan 10 buku, 30 bab dalam buku serta 130 makalah di perngkat kebangsaan dan antarabangsa.