Shell Eco-Marathon

ISNIN, 12 JULAI 2010 20:37

UKMCAR2 juara lumba dalam kategori gasolin alternatif
Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 12 Julai, 2010 – Satu katrij gas cecair petrolium memacu kereta sejauh 479.5 km – inilah kejayaan bersejarah rekacipta Kumpulan UKMCAR2 yang dinobat juara dalam pertandingan Shell Eco-Marathon Asia 2010 Sabtu lalu.

Kumpulan pelajar tahun tiga, Fakulti Kejuteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu muncul juara Kategori Fuel Gasolin Alternatif  di pertandingan yang diadakan di Litar Sepang.

Kemenangan itu dicapai pada penyertaan pertama kali pelajar UKM dalam pertandingan antarabangsa yang disertai 81 pasukan dari IPTA 10 negara.

Mereka membawa pulang wang tunai AS$800, sebuah piala dan sekeping sijil selepas menewaskan pemenang kedua rekaan pelajar Institut Teknologi Bandung , Indonesia.

Pelajar dari ITB menggunakan sama banyak gas ethanol tetapi hanya mencapai 133 kilometer.

Selain UKM, pasukan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) and Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga turut serta selain IPTA termasuk dari Singapura, Indonesia dan Thailand.

Namun separuh daripada pasukan itu gagal melepasi peringkat awal ujian melibatkan kekuatan dan ketahanan ketika mengelilingi litar Sepang.

  
Penasihat pasukan, Dr Taib Iskandar Mohamad, memberitahu persaingan paling sengit adalah daripada perekacipta ITB tetapi penggunaan jenis gas membuat mereka tewas selain rekabentuk kereta.

Perekabentuk UKMCAR2 bekerja sejak pertengahan April lalu iaitu dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam bagi menyiapkan ciptaan aerodynamik kereta di skrin komputer dan membeli bahagian kerangka dan membina badan kereta.

Satu katrij gas LPG itu yang dibuat khas oleh Shell untuk pertandingan tersebut dibeli dengan harga RM500.

Pengurus pasukan, Cindy Lora Sagan, memberitahu semangat berpasukan dan usaha gigih akhirnya membawa kejayaan. UKMCAR2 dipandu oleh Muhammad bin Abdul Halim dan Yovaraj a/l Karunakanan.


Pasukan Fuel Cell UTM yang menggunakan seliter minyak petrol mencapai jarak 598.8 km, telah memenangi kategori berkenaan dan membawa pulang AS$1,000, piala dan sijil manakala pasukan ATE-1 Thailand Army Transportation Engineering School memenangi hadiah keseluruhan kerana berjaya menggunakan seliter minyak untuk mencapai sejauh 1521.9 km.