UKM adalah model hubungan kaum yang baik, Naib Canselor

KHAMIS, 08 JULAI 2010 17:08

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 8 Julai, 2010 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di mana para pelajarnya mencermin komposisi kaum di negara ini adalah satu model yang baik dalam hubungan etnik dan perpaduan, kata Naib Canselor Prof. Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin.

Berucap di Majlis Ikrar Pelajar Baru Sesi Akademik 2010-2011 di Dectar, pagi ini,  Prof. Sharifah Hapsah mengingatkan pelajar UKM supaya terus memupuk hubungan kaum yang baik, menjadi insan yang bertanggungawab,  berakhlak mulia selain dari lulus pengajian mereka.

Beliau berkata globalisasi telah mendedahkan kita kepada dunia luar dan ini memerlukan pemahaman pelbagai budaya dan bahasa untuk berjaya.

UKM yang telah berjaya memartabatkan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu yang utuh kini juga menyediakan peluang bagi pelajar menguasai sekurang-kurangnya satu bahasa global, katanya.

“Rebutlah peluang mengikuti kursus-kursus bahasa serta program English Speaking Zone di kolej kediaman. Ingatlah kebolehan berkomunikasi dengan baik adalah kunci kepada masa depan anda.

“Pelajar juga harus merebut peluang  dalam Kursus-kursus Mobiliti iaitu mendapat Ijazah berganda,” katanya.

Prof Sharifah Hapsah berkata Majlis Perwakilan Pelajar telah bekerjasama dengan pengurusan universiti untuk terus memupuk perpaduan mahasiswanya melalui pelbagai aktiviti.

Selain menimba ilmu, pelajar harus juga memberi masa kepada berbagai aktiviti kokurikulum seperti sukan, kesenian, berpersatuan dan kegiatan kemasyarakatan.

Kegiatan itu boleh memupuk nilai murni dan pendekatan profesional dan beretika serta melahirkan pelajar yang bijak membuat keputusan dan mengambil tindakan.

“Tidak kurang penting adalah menghormati undang-undang dan tatacara universiti serta menggunakan saluran komunikasi yang betul.

“Gunakanlah forum yang sudah diwujudkan seperti e-warga, facebook dan perwakilan pelajar bagi mengatasi masalah dan sesuatu situasi. Janganlah menjadi seperti kerbau ditarik hidung dengan tali,” katanya.

  
Beliau mengingatkan 3,274 mahasiswa baru itu bahawa UKM bukan sekadar melahirkan siswazah yang memiliki kecemerlangan akademik tetapi mahu mereka menjadi rakyat yang peka dengan tanggung jawap meraka terhadap masyarakat.

Turut hadir di majlis hampir sejam itu adalah Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dato Paduka Dr Mazlan Ahmad, Timbalan-timbalan Naib Canselor, barisan Profesor, Dekan dan Ketua Kolej yang diperkenalkan kepada pelajar.