120 orang pakar iklim dunia akan berbincang di Kuala Lumpur pada 21-24 Jun, 2010

KHAMIS, 17 JUN 2010 08:28
Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 16 Jun 2010 —  Seramai 120 orang pakar iklim sedunia akan bertemu di Kuala Lumpur mulai Isnin ini (21 Jun) membincangkan kedudukan terkini mengenai perubahan iklim dunia yang membawa kepada fenomena kenaikan aras laut termasuk soal ketidakstabilan kepingan ais.

Mereka akan meneliti hasil terkini dari pemerhatian kenaikan aras laut serta pelbagai rekod berkaitannya termasuk perkembangan suhu lautan, kecairan glasier, perubahan dalam perimbangan Greenland dan Antartica, serta perubahan dalam edaran lautan dan perubahan dalam simpanan air di daratan.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tempatan, Prof Fredolin Tangang, yang juga Naib-Pengerusi  Kumpulan Kerja 1, Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC), berkata antara kesan besar jangka panjang perubahan iklim ialah kenaikan aras air laut secara global.

Satu unjuran diperlukan untuk mengukur impak terhadap pantai serta menilai kelestarian pantai di seluruh dunia, kata Prof Tangang dari Institute Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau berkata pada masa ini pulau-pulau sudah pun terjejas dengan kenaikan aras laut dan oleh yang demikian suatu jangkaan mengenai kadar kenaikan air laut adalah penting. Kenaikan air laut adalah disebabkan oleh beberapa proses yang menyumbang kepada: (i) perkembangan suhu lautan, (ii) kecairan glasier dan ketulan kecil ais, (iii) kecairan Greenland dan Antartica, (iv) perubahan dalam pengedaran lautan dan (v) perubahan dalam simpanan air di daratan.

Prof Tangang yang juga Ketua Pusat Penyelidikan Sistem Perubahan Iklim Tropika (IKLIM) berkata saiz dan ketidaktentuan setiap satu daripada proses itu perlu dikira untuk membuat satu jangkaan kenaikan aras air laut dan kesannya sedunia.

Oleh yang demikian, bengkel ini akan membincangkan kefahaman semasa mengenai pelbagai isu berkaitan dengannya.

Bengkel empat hari itu akan dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Persekitaran, Dato Seri Douglas Unggah Embas manakala Naib Canselor, UKM, Prof Tan Sri Sharifah Hapsah akan menyampaikan ucapan aluan. Pengerusi IPCC, Dr Rajendra Pachauri yang dijangka hadir akan turut memberi kata-kata aluan.

Sempena Bengkel ini dua syarahan umum akan diadakan oleh orang pakar iaitu Prof Thomas Stocker, Pengerusi bersama Kumpulan kerja 1, dan Dr John Church, seorang pakar perlautan dari Australia, di Bilik Senat, Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada petang 24 Jun.