Fakulti Pendidikan menang Anugerah Sulung e-Pembelajaran UKM

JUMAAT, 26 NOVEMBER 2010 14:04

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 26 Nov. 2010 – Fakulti Pendidikan UKM memenangi Anugerah sulung e-Pembelajaran sebagai fakulti paling aktif menggunakan Sistem Pengurusan Pengajaran & Pembelajaran Interaktif (SPIN) di kalangan pensyarahnya.

Ia merekodkan jumlah tertinggi penggunaan SPIN baik bagi Nota Kuliah, Tutorial, Tugasan, Forum serta Quiz.

Anugerah berbentuk sijil penghargaan dan wang tunai RM 1,000 telah disampaikan oleh Naib Canselor, Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin Rabu lalu (24 November 2010) di Mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian UKM.

Anugerah e-Pembelajaran UKM diperkenalkan mulai Semester 1 , Sesi akademik 2010-2011 sekarang bagi menggalakkan lebih ramai warga akademik menggunakan SPIN sebagai medium perhubungan dengan pelajar.

Anugerah itu diujudkan untuk memberi pengiktirafan kepada Fakulti dan individu yang mengguna pakai kaedah e-Pembelajaran melalui SPIN dalam pengajaran dan pembelajaran dan diberikan kepada Fakulti Paling Aktif, Kursus Paling Aktif, dan Pensyarah Paling Kreatif.

Anugerah akan diberikan di akhir setiap semester 1 dan semester 2 berdasarkan rekod penggunaan SPIN oleh Fakulti secara keseluruhan dan individu pensyarah.

Pemenang bagi dua lagi anugerah iaitu Kursus Paling Aktif dan Pensyarah Paling Kreatif  akan diumumkan oleh Pusat Pengurusan Akademik (BPA) kepada fakulti yang berkenaan kemudian kelak.