Pusat Ekosistem Marin UKM Membakar Semangat Pelajar Untuk Melindungi Ekosistem Marin

RABU, 24 NOVEMBER 2010 17:48

Oleh Kuah Guan Oo

BANGI, 24 Nov. 2010 – Untuk tahun kedua berturut-turut, Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (Ekomar) Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan program menyemarakkan semangat pelajar sekolah menengah menyedar dan lebih prihatin untuk melindungi ekosistem marin negara.

Project kesedaran itu dijalankan pada Oktober lepas untuk 33 orang murid dari dua buah sekolah Menengah di Mersing di mana Ekomar akan membina pusat penyelidikannya dari mana para saintis dan pegawai penyelidiknya akan menjalankan kajian mereka, demikian kata ketua Ekomar, Prof. Dr Che Abdul Rahim Mohamed.

Beliau berkata pelajar sekolah menengah disasarkan supaya mereka boleh menyebarkan maklumat yang mereka terima kepada ahli keluarga dan kawan-kawan mereka. Usaha ini diharap akan dapat  melipatgandakan penyebaran maklumat kepada rakyat tempatan khasnya mengenai betapa pentingnya ekosistem marin dipelihara dan dilindungi kerana “khazanah lautnya” seperti ikan, udang, sotong dan sebagainya perlu dilindungi.

“Berapa lama dan sebaik mana sumber atau khazanah marin ini boleh kekal bergantung kepada sebaik mana kita boleh melindungi alam sekitar dan kehidupan marin kita, khasnya batu karang dan hutan bakau yang menjadi tempat pembiakan dan tapak semaian hidupan laut,” katanya.

Oleh sebab itu, masyarakat setempat harus disedarkan tentang betapa pentingnya ekosistem marin dijaga dan dilindungi jika nelayan tempatan di situ mahu menentukan tangkapan hasil laut mereka terus baik.

Untuk Program Kesedaran Ekosistem Marin atau Prokem’10 itu, Ekomar telah membawa seramai 20 orang pelajar dari Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar Mersing dan 13 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sri Mersing, bersama guru mereka untuk program tiga hari bermula pada 22 Okt. lalu. Program itu berjaya dijalankan dengan kerjasama Pejabat Daerah Mersing dan Pejabat Pelajaran Daerah Mersing.

Dibahagikan kepada 4 kumpulan, murid-murid itu dibimbing oleh pensyarah dan saintis UKM untuk memahami dan menghargai kepelbagaian haiwan laut, kepentingan hutan bakau yang sihat, kebersihan pantai serta kesihatan badan untuk minda cergas.

Murid-murid tersebut juga terlibat dalam kegiatan membersihkan pantai serta apresiasi puisi alam dan manusia.

“Modul kepelbagaian haiwan laut kita, contohnya, telah diketuai oleh Dr Abdullah Samat dan pensyarah Encik Wan Lotfi Wan Muda dari Fakulti Sains dan Teknologi dan ia mengandungi  ceramah, kerja lapangan ke Pantai Penyabong untuk mengutip spesimen organisma marin, pengecaman kategori organisma dan menentukan organisma dari sampel terdapat di bot tunda,” tambahnya.

“Matlamat kami ialah untuk meningkatkan minat pelajar  terhadap hidupan laut dan ekosistem marin kita dengan harapan sebilangan daripada mereka akan menjadikannya kerjaya mereka kelak,” kata Prof Che Rahim.


Prof Dr Che Abdul Rahim Mohamed boleh dihubungi di: carmohd@ukm.my
Tel: 603 8921 4618