Taman Chendana Taman Perumahan Angkat UKM

ISNIN, 15 NOVEMBER 2010 14:49 ADMINISTRATOR

Oleh Abdul Razak Hussin
Foto oleh Saliman Leman

PASIR GUDANG, JOHOR, 15 Nov.  2010 – Taman Chendana, sebuah taman perumahan untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana  di sini, telah diisytiharkan sebagai Taman Perumahan Angkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ia membolehkan UKM menjalankan berbagai kegiatan untuk membangunkan kesedaran penghuni taman itu terhadap kehidupan seharian mereka dengan memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesihatan.

Pengisytiharan itu dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, ketika menutup Program Sihat 1Malaysia di taman itu semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang dimana kawasan perumahan itu terletak berkata penghuni taman itu memerlukan bantuan untuk memenuhi kehendak mereka dan UKM boleh membantu membangunkan kesedaran masyarakat terhadap kehidupan mereka khususnya dalam aspek pendidikan dan kesihatan.

Program itu, katanya, juga membolehkan mahasiswa UKM memahami isu, permasalahan dan keperluan masyarakat. Inilah konsep ilmu yang harus diamalkan dimana pelajar-pelajar universiti boleh menyuburkan konsep amal jariah dengn memanfaatkan ilmu yang mereka miliki untuk kesejahteraan masyarakat.

Turut hadir di majlis itu ialah Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Ir. Dato’ Dr. Hassan Basri, ADUN Permas, Encik MM Samy, dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Haji Abd Rahim Nin.

Khaled berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhasrat untuk memastikan graduan yang dilahirkan oleh universiti benar-benar memahami isu, permasalahan dan keperluan masyarakat.

 

Itulah juga kenapa KPT sentiasa menggalakkan program seumpama kerana pendedahan pelajar kepada realiti masyarakat akan membantu membentuk graduan yang mempunyai pelbagai kemahiran insaniah selain dapat menyuburkan semangat kesukarelawanan di kalangan generasi muda berilmu.

Sebagai sebuah universiti penyelidikan dan mempunyai kekuatan dalam pendidikan kesihatan, beliau menggesa UKM menjalankan penyelidikan kesihatan yang menyeluruh di kawasan Pasir Gudang. Beliau percaya, hasil penyelidikan itu dapat dijadikan asas dalam perancangan program kesihatan pada masa depan.

Program Sihat 1Malaysia selama tiga hari bermula Jumaat lalu (Nov 12) meliputi pemeriksaan kesihatan, pameran pendidikan UKM dan aktiviti pertingkatkan motivasi di kalangan penduduk khususnya pelajar sekolah.

Gerai-gerai pemeriksaan kesihatan dan pameran masih dipenuhi pengunjung sehingga majlis penutupan. Ini menggambarkan kesedaran tinggi penduduk tempatan dan sekitarnya terhadap kesihatan mereka.