Graduan Sarjana Geosains UKM jadi buruan pasaran

SELASA, 10 OGOS 2010 18:06

Oleh Kuah Guan Oo dan Abdul Ghani Nasir

BANGI, 10 Ogos , 2010 –Kumpulan pertama graduan sarjana geosains petroleum Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak menghadapi masalah langsung mendapatkan pekerjaan selepas lulus tahun ini.

Program Dwiijazah Sarjana diperkenalkan oleh UKM dan Institut Teknologi Bandung  (ITB) Indonesia pada 2008 melahirkan 12 graduan dengan sembilan menerima skrol mereka pada majlis konvokesyen UKM ke-38 di sini hari ini. Tiga lagi tidak dapat hadir.

Sepuluh daripada 12 graduan perintis itu adalah rakyat Indonesia, seorang warga Iran dan seorang lagi anak tempatan.

Mengikut program dwiijazah pascaijazah itu, pelajar dikehendaki belajar mengenai Geofizik Petroleum selama setahun di ITB dan setahun lagi berkaitan Geologi Petroleum di UKM.

Allan Moris, 25, yang berasal dari Balikpapan, Kalimantan, Indonesia, dalam satu temuramah memberitahu beliau adalah seorang tajaan syarikat minyak nasional Pertamina dan sudah pun memulakan pekerjaan di Jakarta.

Beliau terlibat dalam penerokaan minyak dan gas di timur Jawa dan Papua dan mendapati kemahiran diperolehinya dalam program dwiijazah itu amat membantu dan relevan.

“Kami diajar teori dan didedahkan kepada kerja praktikal seperti penggunaan bahan teknologi terkini,” kata Allen yang menambah bahawa dia tertarik kepada industri itu kerana dia membesar di Balikpapan, sebuah bandar minyak seperti Miri. Beliau mendapat ijazah pertamanya dalam geofizik dari ITB.

Rakannya, Indra Yuliandri, 29, berasal dari Acheh, Sumatera Utara juga tajaan Pertamina dan kini terlibat dalam kerja-kerja penerokaan minyak dan gas di Jawa.

Beliau berkata dia dan rakannya dalam bidang penerokaan syarikat itu sedang berusaha mencari simpanan baru bagi menambah pengeluaran minyak Indonesia sekarang berjumlah sebanyak 900,000 tong sehari.

Indra, yang pernah bekerja di syarikat Amerika Syarikat, Halliburton, selama dua tahun sebelum menyertai Pertamina pada 2007,berkata beliau telah ke tempat menggali minyak sebanyak tiga kali sejak pulang bekerja di Pertamina. Dalam masa dua tahun dengan Halliburton, beliau telah bekerja di pelantar carigali minyak lebih 30 kali.

Indra memberitahu dia mendapati kursus dwiijazah amat berfaedah memandangkan pelajar didedahkan kepada penggunaan peralatan yang penting.

Made Suardana, 29, dari Bali pula memecah tradisi penduduk pulau itu apabila ke ITB untuk belajar Geofizik dan kemudian ke UKM untuk ijazah sarjana dwiijazah dalam Geosains Petroleum.

“Memang benar tidak ramai anak Bali meninggalkan pulau kami untuk mencari kerjaya baru kerana mereka mudah puas dengan cara hidup tradisional kami,” katanya.

Made berkata dia memilih untuk mempelajari industri minyak dan gas memandangkan Indonesia masih ada simpanan besar dua galian itu. Juga pelajar tajaan Pertamina, beliau telah bekerja dengan syarikat itu meneroka minyak di Jawa.

Satu-satunya pelajar Malaysia dalam program itu, Joo Woi Suaniam, 26 tahun, berasal dari Alor Star berkata dia bekerja sebagai pakar geofizik untuk sebuah syarikat Australia, DownUnder GeoSolutions di Kuala Lumpur setelah tamat pengajiannya.

Joo, berketurunan Siam, memberitahu dia terlibat dalam memproses dan menganalisis data pelanggan mereka sebelum memberi nasihat mengenai kerja penerokaan.

“Syarikat kami mempunyai perisian untuk menganalisis data diperolehi oleh syarikat peneroka,” sambil menambah bahawa syarikat-syarikat itu mahu membuat perbandingan dan perlu berpuas hati dengan analisis data sebelum memutuskan untuk memulakan penggalian kerana kerja-kerja itu melibatkan perbelanjaan besar.

Joo, anak bongsu seorang peniaga yang telah bersara, mendapat ijazah pertamanya dalam geologi dari Universiti Malaysia Sabah.

Alexis Badat Samudra, 29, dari Jakarta pula kini sedang bekerja dengan kumpulan peneroka Pertamina di utara Sumatera. Graduan tajaan Pertamina ini yakin ada lebih banyak minyak di kawasan dianggap ‘matang’ oleh industri itu.

Dina Novisusanti binti Suharto Priyohartono, 26, dari Purwokerto, Jawa Tengah, yakin pengajiannya menyediakan beliau untuk kerja-kerja lebih mencabar dan gigih memandangkan penerokaan minyak masuk dimensi baru dengan penggalian ke laut dalam.

Seorang jurutera geofizik dari Pertamina, beliau tinggal di Jakarta dan mengikuti pengajian di Universiti Gajah Mada bagi ijazah pertamanya juga dalam bidang yang sama.

Kemampuannya menguasai bahasa Inggeris memudahkan beliau  mengikuti kuliah.  Anak penternak ayam ini berasa begitu bertuah dan gembira dipilih untuk menambah ilmunya ke peringkat sarjana.

Bagi Mirayanti Aspan, 27, yang masih bujang, hidup di kota besar pastinya mencabar selain tugasnya sebagai jurutera dalam bidang penerokaan dan pengeluaran minyak.

Beliau mendapat ijazah sarjanamudanya dalam geofizik dari ITB dan tidak melepaskan peluang untuk melanjutkan pengajian di ITB dan UKM.

Walaupun simpanan minyak di Indonesia semakin berkurangan, beliau yakin jurutera seperti beliau tetap diperlukan memandangkan semakin banyak simpanan gas ditemui terutama di bahagian selatan Sumatera.

Dicky Hilmawan, 27, sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan tetapi yakin simpanan minyak akan ditemui di kawasan laut dalam di Indonesia.

Dia telah bekerja dengan Pertamina selepas lulus ijazah pertama dari ITB dalam bidang geologi dan kini sedia berkhidmat lagi enam tahun dengan Pertamina sejajar perjanjian dengan syarikat minyak kerajaan itu.

Mehdi Mahmoudian, 27, dari Iran begitu gembira bukan saja kerana Malaysia sebuah negara Islam tetapi taraf tinggi pengajian dari ITB dan UKM.

Seorang pengkaji seismik yang bekerja dengan International Iranian South Oil Company, beliau mengetahui mengenai dwiijazah sarjana itu dari laman web UKM dan memohon dengan segera. Mehdi yang lulus ijazah sarjanamuda dalam geologi dari Universiti Isfahan berkata beliau akan menggalakkan lebih ramai rakannya belajar di Malaysia memandangkan keadaan di sini yang aman damai dan persekitaran yang nyaman.

Diterjemahkan oleh Abdul Ghani Nasir