IKMAS berusaha terus menjadi rujukan pengubalan dasar kerajaan

AHAD, 08 OGOS 2010 19:52
Oleh Shahfizal Musa dan Abdul Ghani Nasir

BANGI 8 Ogos, 2010 –  Pelbagai jurnal yang diterbitkan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), sebuah badan penyelidikan tertua di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjadi rujukan utama kerajaan dalam menentukan dasarnya.

Institut itu yang telah pun mengukir namanya itu kini sedang mengatur semula strategi penyelidikannya bagi menghadapi cabaran Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia ke -10, demikian dijnyatakan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin ketika berucap di hari kedua upacara konvokesyen ke 38nya hari ini.

Seramai 890 pelajar dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEP), Pengajian Siswazah Perniagaan dan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa menerima ijazah Sarjana Muda dan Sarjana mereka hari ini.

Seramai 729 daripada pelajar itu menerima Ijazah Sarjana Muda dan selebihnya menerima Ijazah Sarjana.

Sidang ketiga konvokesyen tersebut dipengerusikan oleh Pro Canselor, Tunku Laxamana Tunku Dato Seri Utama Naquiyudin Ibni Almahrhum Tuanku Ja’afar, dimana  Sophia Marie Chung Suet Wan telah mendapat Anugerah Pelajaran Di Raja.

Prof Sharifah Hapsah berkata UKM menitikberatkan perkembangan menyeluruh pelajarnya melalui latihan industri sangkutan di beberapa Universiti luar negara serta berbagai kegiatan kokurikulum.

“Saudara telah dilatih membina kompetensi diri yang proses pembelajarannya bukan hanya di bilik kuliah. Jesteru itu kita sangat berbangga dengan kehandalan pelajar melibatkan diri dalam badan pelajar antarabangsa dan membina kematangan menerusi pelbagai aktiviti yang turut mengharumkan nama baik universiti ”

Fakuti Ekonomi dan Perniagaan yang kini mempunyai lebih 200 pelajar antarabangsa giat mempromosikan UKM di peringkat  antarabangsa.

UKM juga mempunyai program ‘Mobiliti pelajar’ yang memberi peluang kepada pelajar antarabangsa dan tempatan untuk berinteraksi melalui program pertukaran pelajar itu.

“Baru-baru ini kursus mobiliti pelajar tentang masyarakat orang asli dan kelestarian warisan hutan tropika telah disertai oleh 78 orang pelajar universiti terkemuka dari 11 buah negara,” tambah beliau.

UKM–GSB pula adalah salah satu daripada dua Sekolah Pengajian Perniagaan yang terbaik di Malaysia dan menerima permohonan yang meningkat dari tahun ke tahun dan usaha sedang giat dijalankan untuk memenuhi permintaan.

Kerjasama dengan Universiti terkenal di dunia sedang dipergiatkan untuk menawarkan program yang terkini. UKM- GSB juga telah menerima pengiktirafan dalam penyelidikan.

“Kewibawaan, UKM–GSB juga terbukti dengan kemampuannya menarik beberapa geran penyelidikan termasuk daripadaInternational Shariah Research Academy, Bank Negara,” katanya.

 

 

Sementara itu, pada sidang sebelah petang, seramai 1022 graduan menerima ijazah mereka dengan tumpuan kepada lapan orang yang memperoleh ijazah Sarjana Pengajian Rasuah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

FSSK melahirkan 251 graduan ijazah sarjana, 20 penerima ijazah sarjana dari Fakulti Farmasi, dua orang penerima ijazah sarjana dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), seorang dari Institut Pembangunan dan Alam Sekitar (LESTARI), 661 sarjanamuda dari FSSK dan 83 sarjanamuda dari Fakulti Farmasi.

Prof. Tan Sri Sharifah Hapsah berkata pada tahun ini, FSSK yang asalnya dinamakan Fakulti Sastera sebagai salah satu fakulti asas pada tahun 1970 apabila UKM ditubuhkan juga menyambut ulangtahun ke 40nya bersama UKM.

Dalam tempoh tersebut, UKM terus berusaha sedaya upaya mengisi gagasan kepentingan pendidikan untuk rakyat Malaysia. UKM telah berjaya menangkis keraguan terhadap kemampuan menerajui bidang keilmuan terkini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.

Program pengantarabangsaan terus diperluaskan menerusi pelbagai inisiatif ”outreach” ke luar negara. Kursus pendek juga telah direkabentuk untuk memperluaskan pengalaman pelajar tempatan dan menarik pelajar dari serata dunia.

Di majlis konvokesyen itu Prof Dato’ Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd Rahman, 66 telah diberikan gelaran Profesor Emeritus.

Beliau kelahiran Kota Bharu memperolehi ijazah Sarjanamuda Sains Sosial dalam bidang Sejarah dari Universiti Malaya pada 1972, manakala ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang Arkeologi dari University of London pada 1976 dan 1984.

Beliau memulakan kerjaya akademik di UKM sebagai tutor pada 1972 dan kemudian dinaikkan pangkat ke jawatan pensyarah pada 1976 di Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Seterusnya beliau dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya pada 1985 dan Profesor bidang Arkeologi pada 1993.

Beliau menerima pelbagai pengiktirafan atas sumbangan bakti dan penglibatan beliau dalam badan profesional dan aktiviti kemasyarakatan.

Prof Dato Nik Hassan yang berpengalaman luas dalam bidang sejarah dan arkeologi Nusanara turut menyumbang dalam perkembangan ilmu melalui penulisan.