Inovasi sistem pendidikan perlu lahirkan pelajar berdaya saing

KHAMIS, 12 OGOS 2010 16:43

Oleh A Ghani Nasir

BANGI,12 Ogos 2010 – Segala inovasi dalam kurikulum dan kokurikulum sistem pendidikan dan pembelajaran negara perlu memastikan kandungan ilmu mampu melahirkan pelajar yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Ini adalah satu daripada 31 usulan yang diterima pada Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara (SKEPEN) ke empat anjuran Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) awal bulan ini di sini.

Seminar itu berpendapat bahawa inovasi itu juga perlu melahirkan pelajar yang pada masa yang sama tetap utuh mempertahankan jati diri dan identiti bangsa Malaysia.

Satu kenyataan yang dikeluarkan di akhir seminar itu juga merumuskan bahawa kurikulum sejarah adalah mata pelajaran penting untuk membina jatidiri dan identiti berkenaan.

Inovasi dalam mata pelajaran itu seharusnya lebih bersifat kontekstual yang tertumpu ke arah membentuk pemikiran kritis, kreatif dan kemahiran pemikiran sejarah yang selanjutnya dapat pula menanamkan minat pelajar untuk mempelajari subjek sejarah bermula di peringkat prasekolah.

Mengenai usul kepemimpinan dan pentadbiran, seminar itu memutuskan pendidikan pelbagai budaya adalah strategi terbaik bagi mengendalikan kepelbagaian yang ujud dalam masyarakat majmuk yang boleh menimbulkan konflik dalam kepimpinan dan pentadbiran sistem pendidikan negara.

Bagi menjamin kecemerlangan organisasi sekolah pula, dicadangkan elemen kemanusiaan (hubungan interpersonal, komunikasi, kerja berpasukan dan hubungan luar) dijadikan tunggak kepada kecemerlangan dalam kepimpinan sekolah.

Berhubung ICT, peserta berpendapat para pendidik perlu memaksimumkan pengintegrasian ICT dalam penyusunan dan penginovasian pendidikan sejajar dengan kepesatan era teknologi bagi menghasilkan bahan pembelajaran yang berkesan dan meningkatkan pencapaian pelbagai jenis pelajar.

Penyelaras ICT Sekolah perlu dilatih supaya mahir dalam aspek pengurusan makmal, penyenggaraan dan penyelenggaraan komputer, di samping Makmal ICT perlu diberikan peruntukan kewangan yang mencukupi bagi melengkapkan segala kemudahan dan sumber. 

Warga pendidik perlu menjadikan Facebook sebagai salah satu wadah perbincangan yang seterusnya dapat memartabatkan ICT dan membudayakan e-pembelajaran sebagai satu daripada bentuk inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran.

Dalam usaha menggubal dasar ke arah berinovasi khususnya untuk menangani masalah sekularisme dan dualisme dalam falsafah ilmu yang diambil dari Barat terhadap pemikiran dan pendidikan masyarakat Islam, seminar merumuskan bahawa Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu menerapkan konsep kesepaduan atas paksi kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Peserta juga beranggapan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSTPN) dan semua polisi yang dirangka ke arah inovasi pendidikan negara perlu memastikan graduan yang dihasilkan oleh IPT menjurus kepada pembangunan holistik pelajar, yang mempunyai kemahiran generik/insaniah cemerlang, agar graduan ini mampu memimpin dan bekerja dalam organisasi nasional dan global.

Sebarang keperluan dan kepentingan transformasi dan inovasi dalam pendidikan negara perlu menjurus ke arah penghayatan belajar seumur hidup, yang mampu menjadikan sistem pendidikan Malaysia beyond excellence, serta mewujud perimbangan antara akhlak dan moral, adab dan disiplin, akademik dan teknikal/vokasional, dan nisbah lelaki dan wanita.

Bagi memenuhi keperluan milenium baru dan dunia tanpa sempadan, peserta memutuskan bahawa kurikulum yang kemas dan bersifat futuris perlu diwujudkan bagi sistem pendidikan negara.

Namun, seminar itu berpendapat bahawa satu mekanisme yang mampu menapis unsur-unsur yang negatif dan batil dari falsafah ilmu barat perlu diwujudkan supaya transformasi dan inovasi dalam pendidikan negara tidak mengancam kelangsungan agama rasmi, sistem nilai, kepercayaan dan budaya kita.

Menyentuh isu Sekolah Agama Rakyat (SAR) seminar merumuskan bahawa dalam usaha menangani isu sensitif dan kontroversi yang sering terjadi dalam operasi pengurusan SAR dan institusi-institusi pendidikan Islam yang lain, satu Model Penyelarasan Kerjasama (MPK) yang menghimpunkan semua kuasa eksekutif dalam satu kelompok yang mempunyai struktur organisasi tersendiri dan carta alir penurunan, pembahagian dan bidang kuasa masing-masing perlu dibentuk.