Kegiatan berorganisasi penting bagi melahirkan pelajar cemerlang, Canselor UKM

JUMAAT, 06 OGOS 2010 14:48
Oleh Shahfizal Musa


BANGI, 6 Ogos, 2010
– Pelajar universiti diingatkan bahawa kegiatan berorganisasi seperti menganjurkan berbagai aktiviti untuk orang ramai adalah  penting dalam usaha melahirkan pelajar cemerlang, berkeupayaan dan tangkas untuk bersaing selepas tamat pengajian.

Chanselor UKM, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bertitah bahawa penjanaan ilmu bukan sahaja diperolehi daripada pensyarah dan bilik kuliah, tetapi juga dari kegiatan berorganisasi yang tidak kurang pentingnya dalam melahirkan pelajar cemerlang.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Pesta Konvokesyen UKM di Dataran Gemilang UKM di sini malam tadi. Pesta yang dianjurkan sepenuhnya oleh pelajar itu akan berlangsung hingga hari Isnin, 9hb Ogos ini.

Dijangkakan lebih dari 10,000 orang akan mengunjungi Pesta itu yang merupakan suatu acara tahunan terbesar yang dianjurkan pelajar. Ini adalah tahun ke38 ia dilangsungkan sempena Konvokasyen UKM selama empat hari yang akan bermula pada 7 Ogos.

Tuanku Muhriz  mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga kerja pelajar atas kejayaan menganjurkan acara sebesar itu yang mampu merapatkan perhubungan antara warga UKM, para alumni dan masyarakat.

“Keupayaan yang anda tunjukkan dalam menjayakan acara ini juga telah membuktikan ciri-ciri inovasi, keintelektualan dan kematangan pelajar-pelajar UKM,”  titah baginda. Baginda juga mengingatkan para pelajar bahawa kebolehan mereka untuk menganjurkan pesta tersebut adalah juga suatu pengalaman pembelajaran.

Pesta itu mempunyai berbagai  program termasuk acara sukan dan pameran kerjaya dengan kerjasama Kareer.com untuk memanfaatkan pelajar yang akan menyempurnakan pengajian mereka berikutan dengan konvokesyen UKM nanti. Pameran kerjaya itu adalah untuk memberi peluang kepada pelajar mendapat maklumat mengenai peluang pekerjaan yang boleh mereka ceburi.

Seramai 146 pengusaha industri kecil dan sederhana menyertai pesta itu menjual berbagai produk-produk keluaran mereka.  Beberapa program baru seperti pertandingan paintball dan berbagai permainan termasuklah sebuah rumah hantu juga diadakan untuk menghiburkan pengunjung.

Turut hadir di upacara malam tadi ialah Tunku Ampuan, Tuanku Aishah Rohani bt Almarhum Tengku Besar Mahmud, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dato’  Paduka Dr Mazlan Ahmad, Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin dan para pegawai kanan universiti.