Sumber luas Bio Malaysia perlu dimanfaatkan melalui penyelidikan

SELASA, 10 OGOS 2010 17:04
Oleh Shahfizal Musa

BANGI 10 OGOS 2010 – Malaysia mempunyai sumberbio yang amat luas dan berbagai yang boleh dimanfaatkan untuk pengetahuan dan ekonomi melalui penyelidikan, demikian kata Dr. Nor Muhammad Mahadi ketika menerima anugerah gelaran Prof. Emeritus di sesi ke tujuh Majlis Konvokesyen ke 38 Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Berucap di hari terakhir majlis itu kepada graduan yang menerima ijazah sarjana dan sarjana muda, beliau berkata bidang bioteknologi adalah suatu bidang yang memerlukan kepakaran untuk menjayakannya.

Apa yang dikehendaki hanyalah kesanggupan dan keterbukaan menjalin kerjasama dan sinergi yang diperlukan bagi bidang-bidang multi-disiplin seperti kajian yang berasaskan genom memerlukan siswazah daripada semua bidang sains.

Prof Emeritus Nor Muhammad adalah ketua pengarah Institut Genome Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan bagi membangunkan program pengajian dalam bidang bioteknologi.

Beliau berkata dunia penyelidikan bioteknologi telah menjadi amat luas untuk diterokai dan peluang ini harus dimanfaatkan kerana dunia keseluruhan adalah medan baru bagi para penyelidik.

Beliau yang sudah tiga tahun bersara dari UKM menasihati para graduan untuk menerokai peluang yang ditawarkan dalam bidang bioteknologi  dan memberi gambaran yang ia adalah suatu bidang yang akan dapat memberi maanfaat yang besar dari segi ekonomi dan pencapaian.

“Hasil penyelidikan kepelbagaian biologi dengan pelantar biologi, sistem matematiknya bukan lagi dua campur dua menjadi empat. Malaysia sebagai sebuah negara mega-kepelbagaian biologi mempunyai sumberbio yang amat luas dan berbagai yang boleh dimanfaatkan untuk pengetahuan dan ekonomi melalui penyelidikan.

Prof Emeritus Nor Muhammad memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Mikrobiologi dari Monash University, Australia pada tahun 1974. Beliau seterusnya berjaya memperoleh ijazah Doktor Falsafah pada tahun 1978 daripada Universiti yang sama.

Beliau memulakan kerjaya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada awal tahun 1973 sebagai tutor di Fakulti Sains. Beliau bertugas sebagai pensyarah Unit Mikrobiologi pada  tahun 1978 dan dilantik sebagai Profesor Madya sepuluh tahun kemudian dan seterusnya sebagai Profesor pada tahun 1994.

Beliau telah memainkan peranan penting dalam penyusunan semula fakulti-fakulti berasaskan sains kepada satu fakulti mega, Fakulti Sains dan Teknologi.

Antara jawatan yang pernah disandanginya ialah Timbalan Dekan Fakulti Sains Hayat, Dekan Fakulti Sains Hayat, Pengerusi Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi.

Nor Muhammad dipertanggungjawabkan untuk menyelaras penglibatan Malaysia dalam projek penyelidikan kerjasama antarabangsa Asia-Pasifik dalam bidang kesihatan yang diketuai oleh Fred Hutchinson Cancer Research Center, Seattle, Amerika Syarikat semenjak September 2004.

Beliau menerajui  Projek Penyelidikan Antarabangsa Malaysia-Stanford Univeristy Amerika Syarikat dan adalah tulang belakang dalam merancang dan merangka penubuhan Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), yang telah diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) pada Julai 2005.

INBIOSIS merupakan suatu institute yang menyediakan infrastuktur dan suasana untuk penyelidik multi displin dalam membuat kajian sumber biologi tropikal.

Seramai 1865 pelajar daripada Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian (FSSK), Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEP), Faculty Pendidikan (FPEND), Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (FSKB) dan Fakulti Pengajian Islam (FPI) menerima Diploma, Diploma lanjutan , Diploma Siswazah ,Sarjana Muda  dan Sarjana mereka di sesi itu.

Fakulti     

Anugerah

      Jumlah  

FST

Sarjana

Sarjanamuda

Diploma

312

1071

19

FSSK

Diploma

72

FPEND

Diploma

214

FEP Diploma

3

FPI

Diploma

66

FPER Diploma

98

FSKB Diploma

10