University of Western Australia muncul juara dalam kejohanan undangan kriket universiti antarabangsa

JUMAAT, 06 OGOS 2010 16:15
Oleh Nur Azimah Mahmood

KLANG, 6 Ogos 2010 — Pasukan kriket University of Western Australia muncul juara dalam pertandingan Kejohanan Kriket Undangan Universiti Antarabangsa 2010 selepas menewaskan pasukan kriket Universiti Kebangsaan Malaysia di sini petang kelmarin.

Kejohanan ini yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Kementerian Pengajian Tinggi dan Persatuan Kriket Melayu Malaysia berlangsung selama sembilan hari dengan dimenangi oleh pasukan dari University of Western Australia dengan kelebihan 6wickets.

Pasukan kriket UKM sebagai naib juara bagaimanapun masih cemerlang selepas berjaya menundukkan empat buah university lain iaitu National University of Singapore; Christ University, India; University of Colombo, Sri Lanka dan NED University of Engineering and Technology, Pakistan.

Pemain terbaik perlawanan akhir dan pemain terbaik kejohanan adalah Steven Lucan dari University of Western Australia.

Johan dan naib Johan masing-masing menerima hadiah wang tunai US$1500 dan US$1000, trofi, medal dan sijil manakala US$500, medal dan sijil untuk tempat ketiga yang disandang oleh pasukan dari University of Colombo, Sri Lanka.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Naib Canselor UKM Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Pengarah Pendidikan Fizikal, Christ University, India, N. Vishakantaswamy, bagi pihak pasukan jemputan menyatakan terima kasih kepada tuan rumah UKM di atas kejayaan menganjur kejohanan kriket berprestij ini.