Ekpedisi Berbasikal UKM-PD-UKM Cipta Sejarah

KHAMIS, 21 OKTOBER 2010 13:55

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Saliman Leman dan Bisharuzi Omar

BANGI, 21 Okt. 2010 – Seramai 27 orang ahli Kelab Sukan & Rekreasi Kolej Kediaman Antarabangsa Ibu Zain (IZISH) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mencipta sejarah apabila menamatkan ekspedisi berbasikal pergi balik Kampus Bangi-Port Dickson baru-baru ini.

Mereka telah berlepas pada Sabtu, 9 Okt dan berkayuh balik keesokkannya berbasikal sejauh 142 km. Mereka telah diiringi 29 orang lagi peserta daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Selangor.

Kejayaan itu menguatkan semangat peserta dan penganjur ekspedisi, Bisharuzi Omar merangkap Felo Sukan dan Rekreasi IZISH, untuk menubuhkan sebuah Kelab Berbasikal UKM awal tahun depan.

Ekspedisi itu telah dilepaskan oleh Musa Zainal Abidin Othman wakil daripada Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel) dan  Anuar Ahmad pengetua IZISH di pintu masuk utama UKM. Kolej IZISH adalah sebuah daripada 12 kolej kediaman UKM.

Yang Dipertua (YDP) MPKj, Dato’ Hasan Nawawi Abdul Rahman, yang telah menampa sejarah berbasikal mengelilingi dunia merentasi 18 buah negara selama 389 hari beberapa tahun lalu turut menyertai ekspedisi itu sebagai penasihat.

Dato’ Hasan telah memberi ceramah kepada peserta seminggu sebelum ekspedisi menceritakan pengalamannya itu yang telah dicatatkan dalam Malaysia Book of Record.

 

Bisharuzi berkata ekspedisi itu bertujuan memberi pengalaman baru kepada pelajar iaitu berbasikal dalam jarak yang lebih jauh daripada biasa. Mereka juga diuji ketahanan diri baik fizikal mahupun mental.

Peserta turut memperolehi kemahiran lahiriah dengan mempraktikkan kemahiran kerja dalam berpasukan dan menguruskan organisasi serta memupuk semangat kerjasama untuk memastikan program berjalan lancar.

Para peserta telah bermalam di Sun Shine Resort untuk merehatkan diri bagi meneruskan kayuhan kembali ke Bangi keesokannya.

Sambil berehat mereka bertukar-tukar  pandangan dan kisah dengan ahli kelab berbasikal yang telah menjelajah ke Thailand dan Indonesia. Para peserta IZISH juga telah ditunjukkan teknik dan kayuhan yang betul serta peralatan yang patut dibawa dan digunakan semasa ekspedisi.

Kumpulan itu akan meneruskan aktiviti berbasikal ke Putrajaya dengan Kelab Berbasikal UiTM Tronoh Perak pada 6 November ini dan ke Phuket, Thailand pada akhir tahun nanti.

Sesiapa atau kumpulan berbasikal yang berminat untuk turut serta dalam aktiviti seterusnya dan menjayakan penubuhan Kelab Berbasikal UKM diminta menghubungi Bisharuzi di talian 019-2700026 untuk mendapatkan keterangan lanjut.