Kolej Aminuddin Baki juara SUKEM 2010

ISNIN, 11 OKTOBER 2010 18:09

Oleh Abdul Razak Hussin
Gambar oleh Saliman Leman

BANGI, 11 Okt. 2010 – Kolej Aminuddin Baki muncul juara Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (SUKEM) 2010 apabila memenangi empat pingat emas bagi acara bola sepak, sofbol lelaki, catur campuran dan woodball campuran serta satu pingat perak bagi acara bola keranjang lelaki. Ia turut menerima hadiah RM1000.

Naib juara pula disandang Kolej Rahim Kajai yang memenangi empat pingat emas dan satu gangsa sementara Kolej Ungku Omar menduduki tempat ketiga dengan pungutan tiga emas, satu perak dan dua gangsa. SUKEM telah berlangsung di Stadium UKM dari 24 Sep hingga 6 Okt 2010, dengan disertai 13 pasukan yang mewakili kolej kediaman. Mereka telah bertarung untuk merebut pingat bagi 16 acara yang dipertandingkan.

Pertandingan perbarisan pula dimenangi Kolej Ibrahim Yaakob yang telah menunjukkan persembahan kreatif yang sangat menarik dan menerima tepukan bergemuruh.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dato’ Paduka Dr. Mazlan Ahmad dalam ucapan di majlis penutup SUKEM 2010 berkata aktiviti sukan mampu menyuburkan budaya kesukanan.

Ini digambarkan menerusi semangat kental untuk mencapai kejayaan, kesabaran, ketabahan, tekun berlatih, semangat berpasukan dan menghargai kejayaan yang diperoleh dengan mempertahankannya menerusi usaha yang berterusan serta memikirkan pendekatan baru bagaimana untuk lebih berjaya, katanya.

“SUKEM juga bukan sekadar menyaksikan berapa banyak pingat yang diperoleh tetapi ciri-ciri insaniah yang terbentuk menerusi aktiviti sukan itu yang lebih menjamin kejayaan dalam menghadapi cabaran masa depan,” tambah beliau.