Malaysia alami kekurangan ahli optometri, kata Menteri Pengajian Tinggi

JUMAAT, 01 OKTOBER 2010 20:18

Oleh Shahfizal Musa

KUALA LUMPUR, 1 Okt. 2010 – Malaysia mengalami kekurangan hampir 3,000 ahli optometri kiranya mahu menepati kehendak nisbah seorang pakar mata bagi setiap 7,000 orang penduduk.

Kini terdapat hanya 834 pakar itu yang berdaftar dengan Majlis Optik Malaysia, termasuk 736 lulusan UKM, berbanding dengan kehendak seramai 3,600 yang diperlukan sekarang.

Maka itu usaha hendaklah dilakukan untuk mengeluarkan lulusan optometri bagi memenuhi keperluan itu. Ini adalah bertepatan dengan peralihan fokus rancangan Malaysia ke 10 yang menekankan perkembangan modal insan berbanding dengan pembangunan fisikal sebelum ini.

Demikian kata Menteri Pelajaran Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika melancarkan Hari Optimetri Malaysia di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan semalam.

Beliau berkata: “Peralihan fokus ini amat penting dan cukup signifikan kerana sebagai sebuah negara yang sedang berada dalam proses transformasi untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020, ia perlu disokong dan didukung dengan sumber modal insan yang berkualiti dan bakat yang diperlukan dalam pelbagai sektor”.

Beliau melahirkan kekhuatiran akan ujud fenomena kehilangan atau penghijrahan pakar itu ke luar negara hingga memburukkan lagi keadaan kekurangan kepakaran ahli optometri itu hingga akan menjejas pemindahan kepakaran kepada generasi akan datang.

“Meskipun isu penghijrahan pakar (brain drain) tidak begitu ketara dalam bidang optometri, langkah proaktif hendaklah di fikirkan bagi memastikan semua lulusan bidang ini akan berkhidmat di dalam negara,” kata Datuk Seri Khaled.

UKM merupakan IPT pertama di rantau Asia Tenggara mengadakan program sarjana muda optometri. Kini terdapat beberapa lulusan itu bertugas di luar negara seperti Singapura dan Australia.

Timbalan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr Mohamad Abdul Razak, Dekan dan Professor Toksikologi, Dr Salman H. Inayat Hussain, pensyarah dan pegawai kanan fakulti serta wakil dari pusat pengajian tinggi lain turut hadir.

Tarikh 15 Ogos telah dipilih sebagai Hari Optometri Semalaysia kerana ia adalah tarikh UKM melahirkan tujuh orang optometri pertama di Malaysia. Mereka ini kemudian telah membangunkan bidang pengajian optometri di Malaysia.

Majlis itu telah ditangguhkan kepada semalam (30 September) kerana menghormati bulan Ramadan.