Produk PPUKM Memenangi Pingat Emas di Konvension Antarabangsa

JUMAAT, 29 OKTOBER 2010 17:45

Oleh Shahrizal Musa
Foto oleh Saliman Leman

BANGI 29, Okt. 2010 – Satu produk oleh Perkhidmatan Pemulihan Perubatan, Pusat Perubatan UKM (PPUKM) yang membolehkan pesakit lumpuh dipindah dengan mudah telah memenangi pingat emas di satu konvension antarabangsa di Hyderabad India awal bulan ini.

Produk yang diberi nama A1BOD telah diiktiraf dalam Konvension Antarabangsa Mengenai Mutu (International Convention on Quality Concept Circles-ICQCC) pada 15 Okt. Ia membolehkan pesakit lumpuh dipindah dengan mudah dan selamat dari kereta ke kerusi roda dan ke katil serta sebaliknya.

Ia akan dikomersialkan dan akan dipasar ke seluruh dunia.

Dalam pada itu pasukan ONETOUCH daripada Jabatan Kewangan PPUKM mendapat tempat pertama dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) ke15 bagi sistem inovatif mereka dinamakan CHETS.

Sistem itu membolehkan seseorang pesakit yang keluar dari wad tanpa pengetahun dapat di kawal dan dikesan dan ini akan dapat mengatasi masalah pesakit membolos dari kawalan untuk mengelak daripada dikenakan caj rawatan.

Bagi kategori teknikal pula tempat pertama telah di menangi oleh pasukan TEN dari Jabatan Otorinolaringologi kerana berjaya mereka tempat menyimpan endoskopi yang diberi nama 6 dalam 1.

Endoscopi adalah alat yang digunakan untuk pembedahan tetapi sering mengalami kerosakan akibat tidak mempunyai tempat simpanan yang sempurna.  Tempat simpanan endoskopi yang direka itu dapat mengurangkan masa pengendalian, kos penyelenggaraan dan mampu mengurangkan risiko jangkitan kuman kepada pesakit.

Manakala pasukan IRIS pula memenangi tempat pertama bagi kategori pengurusan bagi rekaan mereka yang mampu mengurangkan penolakan portal filem apabila x ray diambil.

Sejumlah 18 kumpulan telah mengambil bahagian dalam KIK itu. Ia dilangsungkan untuk menggalakkan warga UKM berinovasi bila menjalankan tugas supaya dapat memberi perkhidmatan yang lebih efisien dan baik.

Ia juga bertujuan mengiktiraf inisiatif warga UKM tanpa mengira pangkat dan supaya produk inovasi yang mereka hasilkan boleh diikuti dan dimanfaatkan semua yang berkepentingan.