Prof Dato’ Nik Anuar: Kembalinya Pensyarah Sejarah UKM dan tokoh sejarah tanah air

3

JUMAAT, 29 OKTOBER 2010 17:16

Oleh Mohd Safar Hasim
Foto oleh ATMA

Bangi, 29 Okt. 2010 –  Seorang tokoh sejarah tanahair, Prof  Dato’ Dr Nik Anuar Nik Mahmud, 61,yang juga pensyarah dan felo utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) telah kembali ke rahmatullah semalam. Beliau meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia kerana kanser usus.

Beliau terkenal sebagai seorang pengkaji sejarah Malaysia, khususnya politik dan diplomasi konflik sempadan dan pemisahan.

Lulusan Universiti Malaya dalam bidang sejarah ini memulakan kerjayanya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik. Bagaimanapun, tarikan penyelidikan dan pendidikan memulakan kerjayanya di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dalam tahun 1976.

Beliau memperolehi ijazah sarjana dalam bidang Sejarah Asia Tenggara, di School of Oriental and African Studies, Universiti London dan PhD (sejarah) dari University of Hull.

Allahyarham Prof Nik Anuar telah menghasilkan beberapa buah buku termasuk ‘The Malays of Patani: The Search for Security and Independence’, terbitan MPH, dan ‘Susur galur Kesultanan Melayu Terengganu, 1708-2008’  terbitanYayasan Tuanku Mizan.

Beliau sedang dalam proses menyiapkan ‘Impak Komunikasi Terhadap Proses Pembinaan Negara Bangsa dan Unsur-unsur Rasional dan Saintifik dalam Pemikiran Melayu’.

Beliau dianugerahkan Pingat Kebesaran Dato’ Paduka Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) pada tahun 2009.

Beliau minggal seorang balu, Datin Rahilah Harun dan lima orang anak, Nik Nur Adnin, Nik Nurhusna, Nik Muhd Adham, Nik Muhd Zafir dan Nik Anis Syahirah serta tiga orang cucu, Nik Amiraa Batrisyia, Nik Ayra Nadira dan Nik Muhd Rayyan.