Prof Dr Amin terima anugerah Teknologi ISESCO

RABU, 20 OKTOBER 2010 15:25

Oleh Abduk Ghani Nasir
Foto oleh Saliman Leman

KUALA LUMPUR, 20 Okt.  2010  – Timbalan Pengarah (e-Pembelajaran), Pusat Pembangunan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohamed Amin Embi semalam menerima Anugerah Sains dan Teknologi 2010 daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO).

Prof  Amin, 46, menerima sijil, sebuah pingat emas dan wang tunai AS$5,000 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena perasmian Persidangan Menteri-Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Islam  Kelima di sini.

ISESCO  adalah sebuah badan di bawah naungan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang beribu pejabat di Rabat, Maghribi.

Turut menerima anugerah adalah lima lagi saintis Islam iaitu Ketua Jabatan Pembangunan Biologi dan Sel Stem Institut Royan, Iran, Dr. Hossein Baharvand (Biologi); Pengarah Akademi Sains Tajikistan, Prof. Dr Mirsaidov Ulmas (Kimia); Setiausaha Agung Akademi Sains Pakistan, Prof. D. Muhammad Qasim Jan (Geologi); Pensyarah Universiti Al-Balqa, Jordan, Dr. Odibat Zaid (Matematik) dan pensyarah Universiti Islam Gaza, Palestin, Dr. Shabat Mohammed (Fizik).

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Penolong Setiausaha Agung OIC, Abdul Moiz Bokhari dan Ketua Pengarah ISESCO, Dr. Abdulaziz Othman Altwaijri.

Pemilihan itu dibuat berikutan kejayaan Prof Dr Mohamed Amin mencipta sistem pembelajaran melalui Internet termasuk membangunkan portal pengajaran dan pembelajaran maya bagi rantau ASEAN yang dikenali sebagai VirTEC.

 

Beliau yang berasal dari Pulau Pinang turut mencipta kaedah cepat baca serta membangunkan perisian cepat baca pertama di Malaysia yang dikenali dengan nama e-Xra C.E.P.A.T.

Sehingga kini, program itu telah membantu lebih 25,000 kanak-kanak di Malaysia yang bermasalah dalam pembelajaran, disleksia dan autisme agar dapat menguasai kemahiran membaca dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan.

Ketika ditemui Prof Amin, yang jelas amat gembira dengannya, bersyukur diberikan anugerah itu dan berharap sistem pembelajaran beliau itu dapat dikongsi bersama bagi kesejahteraan dan peningkatan ilmu pengetahuan seluruh umat Islam amnya.

Beliau juga menganggap anugerah itu sebagi penghargaan kepada UKM yang terus menempah nama di persada antarabangsa.