UKM kini sebuah universiti penjana ilmu terulung di bawah status universiti penyelidikan

SELASA, 19 OKTOBER 2010 10:45

Oleh Radzuan  Hj Ghazali

Port Dickson, 18 Okt. 2010 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini menjadi sebuah universiti penjana ilmu terulung di bawah status universiti penyelidikan yang memberikan penumpuan khusus kepada aktiviti penyelidikan dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu yang dipeloporinya.

UKM mengenalpasti kekuatan dan aktiviti utama akademiknya dalam lapan bidang atau nic yang strategik dan bersifat multidisiplin, menurut Naib Canselor, Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Prof Dr Rahmah Ismail  ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke V 2010 Jumaat lalu.

Justeru itu, katanya, pemilihan nic yang berteraskan kepada potensi yang dimiliki untuk digembleng bersama dalam kepelbagai disiplin menerusi bidang yang sudah mantap atau bidang baru tetapi menjadi tujahan negara dan dunia dengan penerapan holistik yang menggabung pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat.

Beliau berkata, UKM harus terus unggul dalam pelbagai bidang ilmu dan muncul cemerlang melalui penulisan dan persidangan di samping penyediaan peruntukan yang besar kepada kakitangan dalam menganjur atau menghadiri seminar.

Oleh itu, persidangan yang dijalankan melalui perbahasan akademik dapat dilakukan melalui interaksi antara penyelidik, pembuat dasar dan semua pihak yang bekepentingan dalam menghasilkan penerbitan dalam bidang berkaitan sebagai output dairpada persidangan.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Omar Abdul Rahman. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Seminar, Prof Madya Dr Md Zyadi Md Tahir dan kira-kira 100 peserta dan pembentang kertas kerja.

Persidangan dua hari tersebut berjaya menarik 100 peserta dan pembentangan 80 kertas kerja yang mengupas isu berkaitan dengan ekonomi Malaysia.

Persidangan yang diadakan ini menjadi landasan kepada penyelidik muda memahirkan diri dan membina keupayaan menjadi ahli akademik berwibawa.

Universiti sentiasa memberi sokongan kepada ahlinya selain dorongan ke atas usaha menggiatkan lagi aktiviti yang menjurus kepada kesarjanaan para ahli akademiknya, jelas beliau.