Golf Amal Autisma UKM Terima Sumbangan RM77,000

SELASA, 10 APRIL 2012 00:00

Oleh Nur Azimah Mahmood
Foto Penerbit UKM dan PKK

BANGI, 10 April 2012 – Seramai 88 orang peserta dari 25 organisasi dan badan korporat telah mengambil bahagian dalam suatu acara golf amal autisma di Danau, Kelab Golf UKM di sini Ahad lepas.

Ia berjaya mengumpulkan sejumlah RM77,000 yang akan digunakan untuk meneruskan kesinambungan aktiviti di Makmal Pembelajaran Autisma, Fakulti Pendidikan UKM.

Acara itu dianjurkan oleh Makmal Pembelajaran Autisma dan Ketua Penyelidiknya, Dr Hasnah Toran dengan kerjasama Pusat Sukan UKM.

Antara orang kenamaan yang mengambil bahagian termasuk Tunku Laxamana Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin ibni al-Marhum Tuanku Ja’afar; Puteri Jawahir ibni Al-Marhum Tuanku Ja’afar; Pro-Canselor UKM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang juga Penasihat Makmal Pembelajaran Autisma itu.

Turut hadir ialah Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan suami Dato’ Dr Mahmud Md. Nor serta Naib-naib Canselor beberapa Institusi Pengajian Tinggi dan Ketua Pegawai Eksekutif badan-badan korporat.

Presiden Northport (Malaysia) Berhad, Tan Sri Wan Abdul Rahman Wan Yaacob dan Ketua Pegawai Eksekutif Kontena Nasional, Encik Hood bin Osman masing-masing telah menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada makmal autism di upacara itu.

Sebuah buku berjudul Do You Know Autism? yang diilhamkan oleh Naib Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Prof Emeritus Dato’ Dr Hood Hj Salleh juga diperkenalkan. Buku itu adalah kompilasi cerita yang ditulis oleh pelajar Makmal Pembelajaran Autisma UKM dan ibu bapa mereka.

Seorang pelajar autisma, Umar Hasfizal yang telah menghasilkan sebuah album lagu I Give the Best of Me yang telah dilancarkan pada 2 April lalu telah menghiburkan hadirin dengan beberapa lagunya. Seorang lagi pelajar di Makmal Pembelajaran Autisma, Ahmad Muaz Hamdani bin Hamad Hamdi telah membaca doa penutup.