Kemungkinan Pelajar Mexico Di UKM?

SELASA, 17 APRIL 2012 00:00

DutaMexico12

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto oleh Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 17 April 2012 – Mexico tidak menolak kemungkinan menghantar pelajarnya menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada satu masa kelak.

Itu terpulang kepada universiti masing-masing yang mungkin dapat dimulakan dengan pertukaran pelajar.

Duta Besarnya di Malaysia, Jorge Alberto Lozoya bagaimana pun berkata syur itu bergantung kepada persetujuan antara kedua-dua kerajaan serta universiti terbabit.

Lozoya menyifatkannya sebagai satu cadangan terbuka yang perlu dibincang secara lebih mendalam.

Beliau telah menjawab soalan mengenai kerjasama kedua negara selepas berucap dalam siri seminar mengenai perkembangan terkini di Amerika Latin di Institut Kajian Oksidental (IKON) UKM di sini hari ini.

Lozoya adalah pensyarah tetamu di IKON. Beliau melahirkan rasa gembira dengan tahap kerjasama erat antara kedua negara, walaupun tidak banyak maklumat disalurkan secara umum di Malaysia untuk menangkis tanggapan salah mengenai negaranya dalam media barat.

Berucap di seminar itu, Lozoya memberi beberapa contoh mengenai potensi Mexico untuk rakyat Malaysia termasuk sebagai destinasi melancong.

Beliau menafikan tanggapan bahawa Mexico adalah suatu tempat merbahaya untuk pelancong kerana kadar pelancongan dari Amerika Syarikat terus meningkat, khususnya di utara Mexico.
Beliau kemudiannhya memberikan syarahan tertutup kepada pelajar-pelajar.