Kerjasama Syarikat Jerman Menubuh Makmal Canggih Di Fakulti Kejuruteraan

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ihsan Fakulti Kejuruteraan

BANGI, 26 April 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dua syarikat Jerman akan bekerjasama membentuk sebuah makmal ujikaji bahan binaan yang disifatkan sebagai antara yang paling canggih di negara ini.

UKM turut mendapat faedah dari penyertaan sebuah lagi syarikat Jerman dalam beberapa rancangan penyelidikan alam sekitar dan teknologi maklumat.

Acara menandatangani dua memorandum persefahaman itu, ia itu antara syarikat Zwick Asia dan Infineon Technologies dengan UKM telah disaksikan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Zwick Asia akan membekal alat untuk makmal-makmal di Fakulti Kejuruteraan dan Alambina manakala Infineon Technologies akan menyediakan litaran elektronik dan semikonduktor.

UKM telah juga menandatangani Surat Ikhtiar (LoI) dengan University of Duisburg-Essen (UDE) membolehkan Akademi Sains Jerman membiayai kajian alam sekitar dan perubahan iklim.

UDE adalah sebuah universiti yang tidak asing kepada UKM kerana penglibatannya dalam usaha melaksanakan program dwi ijazah UKM-UDE sejak tahun 2001.

Upacara itu dilangsungkan pada akhir seminar mengenai Perubahan Iklim dan Bangunan Hijau.

Prof Sharifah Hapsah berbagga kerana UKM telah pun menjalankan banyak projek usahasama dengan syarikat dan universiti Jerman dengan kebanyakannya adalah dalam bidang kejuruteraan dan alam sekitar.

Beliau bersyukur kerjasama demikian itu dibiayai oleh Akademi Sains Jerman serta Kesatuan Eropah.

Minat untuk teknologi alam sekitar, perubahan iklim dan maklumat teknologi kian meningkat, bukan sahaja antara UKM dan syarikat Jerman, malahan antara kedua Negara Malaysia dan Jerman.

Prof Sharifah Hapsah juga berbangga dengan program bersama PhD antara UKM dan UDE dalam kejuruteraan.

Turut hadir wakil syarikat-syarikat itu serta duta besar Jerman ke Malaysia, Dr Guenter Gruber dan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

TERAKHIR DIKEMASKINI PADA JUMAAT, 04 MEI 2012 08:52