Tanggapan Salah Mengenai Vitamin E: Tocopherol Dan Tocotrienol

Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Shahiddan Saidi

BANGI, 9 April 2012 – Terdapat banyak kekeliruan mengenai vitamin E yang telah di kusutkan lagi dengan penerbitan sebuah rencana dalam jurnal ternama, ‘Nature Medicine’ bertajuk ‘vitamin E mengurangkan kepadatan tulang dengan menyemarakkan penghapusan tulang lama’(Vitamin E decreases bone mass by stimulating osteoclast fusion).

Artikel itu sebenarnya bersangkutan dengan kajian ke atas alpha tocopherol sejenis pecahan terdapat dalam vitamin E yang membawa kepada peningkatan osteoporosis.

Vitamin E juga mengandungi satu lagi jenis pecahan ia itu tocotrienol yang menjadi bahan kajian Prof Dr Ima Nirwana Soelaiman, Ketua Kumpulan Penyelidik Metabolisme Tulang di Fakulti Perubatan UKM dan pasukannya besangkutan dengan pencegahan terhadap osteoporosis. (Lihat berita penyelidikan itu sebelum ini)

Penulisan itu turut menyatakan bahawa alpha tocotrienol tidak mempunyai kesan yang sama seperti alpha tocopherol yang dikatakan mempunyai kaitan dengan punca osteoporosis.

Tocopherol boleh didapati dari minyak kacang soya manakala tocotrienol yang menjadi bahan kajian Prof Ima, terdapat dalam minyak sawit.

Penyelidikan menunjukkan bahawa tocotrienol adalah antioksidan yang lebih baik dari tocopherol. Terdapat juga laporan yang mengatakan tocopherol and tocotrienol mempunyai kesan yang bertentangan dalam keadaan tertentu.

Dalam kajiannya, Prof Ima telah mendapati tocotrienol lebih baik dari alpha-tocopherol untuk mencegah dan menyembuhkan osteoporosis.

Walaupun Prof Ima tidak mempertikaikan kajian yang diterbitkan, beliau berkata tajuk yang menggunakan terma vitamin E secara umum akan memberi tanggapan yang tidak betul terhadap vitamin itu.

“Seharusnya journal itu perlu lebih spesifik mengenai vitamin E kerana terdapat lapan jenis pecahan vitamin E, empat boleh diklasifikasikan sebagai tocopherol dan empat lagi sebagai tocotrienol,” tambah beliau.

Tajuk itu sepatutnya menjelaskan pecahan vitamin E yang dimaksudkan ia aitu tocopherol dan bukannya tocotrienol kerana tidak semua pecahan vitamin E mempunyai kesan yang sama. Malangnya kerana tajuk yang tidak tepat, pihak media telah memberi gambaran negatif terhadap semua vitamin E.

Beliau telah pun menulis kepada editor majalah itu untuk membuat pembetulan mengenai tajuk salahnya itu. Malangnya mereka tidak melayan aduannya itu.

Bagaimana pun Prof Ima dan pasukannya sedang meneruskan penyelidikan ke atas tocotrienol dan osteoporosis. Mereka merancang untuk mengeluarkan tocotrienol sebagai agen anti-osteoporosis dengan sebuah syarikat membuat ubat.

Usaha itu berada di tahap terakhir dalam kajian ke atas binatang dan akan membuat ujian klinikal ke atas manusia. Apabila ubat ini berada dalam pasaran penyakit osteoporosis mungkin akan dapat diatasi dengan berkesan.