UKM Menghargai Saintis Dan Penyelidiknya

ISNIN, 16 APRIL 2012 00:00

GerakanInovasi1

Oleh Saiful Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Penerbit UKM

BANGI, 16 April 2012 – Dua puluh orang penyelidik dan ahli sains Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah berjaya menghasil dan memperdagangkan ciptaan mereka diberi penghargaan dan insentif berjumlah lebih RM137,000 hari ini.

UKM juga berhasrat memberi ganjaran berjumlah RM48,000 atau RM3,000 seorang kepada 16 orang penyelidik yang telah berjaya mendapat pensijilan industri atau rekaan yang menerima Sijil Paten dan Rekabentuk.

Penghargaan itu dibuat dalam upacara sambutan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 peringkat UKM di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) di sini petang ini. Ia dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Profesor Dato’ Dr Rujhan Mustafa, yang mewakili Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Agihan itu diberikan sejajar dengan Dasar Pengkomersilan Harta Intelek UKM.

Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata UKM telah menerokai pendekatan baru bagi membangun peneraju penyelidikan dan pembagunan (R&D) yang dapat menjana idea dan ciptaan daripada hasil penyelidikan serta membangun usahawan yang berjaya membawa ciptaan ke pasaran.

UKM sehingga kini telah pun menghasilkan lebih 400 harta intelek manakala sejumlah lebih 30 daripadanya telah mencapai tahap perdagangan melalui 33 syarikat terbitan universiti.

Prof Sharifah Hapsah berkata UKM telah berjaya membangun kurikulum keusahawanan akademik yang kini dilaksanakan sebagai kursus wajib di Tahun Satu pengajian.

Ia bertujuan menggalakan budaya inovasi dan keusahawanan di kalangan tenaga akademik, penyelidik dan siswanya baik di peringkat pra mahu pun pasca siswazah.

UKM berharap dapat melahirkan usahawan yang mampu berdikari dan berjaya menerokai perniagaan baru berasaskan teknologi dan inovasi.

Prof  Rujhan memuji usaha UKM dan penyelidik-penyelidiknya yang berjaya menghasilkan ciptaan yang boleh menjana pendapatan lumayan.

Empat Memorandam Pencapaian (Memorandum of Attainment MoA) telah ditandatangani sempena acara itu, ia itu:

  1. UKM dengan Jatro Singapore Pte Ltd untuk penyelidikan bahan bakar enjin jet sehingga diperdagangkan berjumlah RM 7.9 juta
  2. UKM dengan Comintel Green Technologies bagi penyelidikan biomas.
  3. Casemix Solution Sdn Bhd, sebuah anak syarikat terbitan UKM, dengan KPJ International College of Nursing and Health Sciences untuk teknologi perubatan .
  4. UKM Technology dengan Revongen Corp Sdn Bhd bagi mengkomersilkan bioteknologi perubatan termasuk Meliodosis Rapid Diagnostic Kit.

Di samping itu UKM juga akan bekerjasama dengan rakan industri bagi membangun dan memasarkan harta inteleknya.