Apakah Kawasan Bandar Kini Kurang Sihat Untuk Di Diami?

KHAMIS, 27 DISEMBER 2012 11:52

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Othman, Penerbit UKM

BANGI, 21 Dis 2012 – Terdapat kebimbangan bahawa kawasan bandar di Malaysia telah menjadi kurang sihat untuk di diami akibat kepanasan, pencemaran dan banjir yang semakin ketara.

Penyelidikan yang dilakukan oleh Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan bahawa lebih ramai orang di bandaraya dan pekan besar mengadu mengalami masalah pernafasan hingga membawa kepada masalah peningkatan pekerja tidak hadir bekerja baik di sektor awam mahu pun swasta.

Profesor Dato’ Dr Shaharuddin Ahmad dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) berkata penyelidik dari Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Fakulti itu baru-baru ini mendapati lebih ramai responden mendakwa mereka kini lebih kerap jatuh sakit. Kajian dilakukan secara temu bual dan mengadakan soal selidik.

Membentangkan rumusan itu dalam syarahan perdananya bertajuk Perkembangan dan Impak Pulau Haba Bandar di Malaysia di sini hari ini, Prof Shaharuddin berkata mereka yang menjawab soal selidik itu mengakui lebih berkemungkinan mengambil cuti sakit sekarang berbanding beberapa tahun lalu.

Naib Canselor Profesor Tan Sri Dato’  Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin hadir di acara syarahan itu.

Prof Shaharuddin menjelaskan bahawa masalah kesihatan demikian dikaitkan kepada satu fenomena yang dipanggilPulau Haba Bandar atau Urban Heat Island (UHI). UHI adalah satu kejadian berpunca daripada peningkatan suhu sekitaran yang mempengaruhi suhu dalam bangunan. Kaedah yang biasa diguna untuk mewujudkan persekitaran dalaman yang lebih selesa adalah dengan menggunakan penghawa dingin.

Bagaimanapun penggunaan penyaman udara dalam bilik kedap udara boleh mengundang masalah yang di kenali sebagaiSindrom Bangunan Sakit yang boleh menimbulkan masalah kesihatan.

Ini adalah kerana bakteria dan virus kekal di dalam bangunan dan beredar melalui penghawa dingin dan dengan itu mudah menjangkiti penghuninya. Akibatnya semakin ramai pekerja memohon cuti sakit.

UHI adalah kawasan metropolitan yang jauh lebih panas daripada kawasan luar bandar sekitarnya disebabkan oleh aktiviti manusia. Fenomena ini pertama kali disiasat di awal abad ke-19 dan dibayangkan oleh Luke Howard dalam tahun 1810-an, walaupun istilah itu belum digunakan.


Perbezaan suhu biasanya lebih besar pada waktu malam daripada siang hari dan paling ketara apabila angin lemah. UHI dialami semasa musim panas dan musim sejuk. Punca utama Pulau Haba Bandar adalah pengubahsuaian permukaan tanah oleh pembangunan bandar yang menggunakan bahan-bahan yang mengekalkan haba.

Haba buangan yang dijana oleh penggunaan tenaga merupakan penyumbang sekunder. Apabila pusat penduduk berkembang, ia cenderung untuk meluaskan kawasan dan meningkatkan suhu purata. Ada juga istilah Pulau Haba yang merujuk kepada mana-mana kawasan, sama ada mempunyai penduduk atau tidak, yang sentiasa lebih panas daripada kawasan sekitarnya.

Prof Shaharuddin berkata ada penyelidik yang mencuba beberapa kaedah untuk menangani UHI, seperti menyediakan taman atau menanam sayur-sayuran di atas bumbung bangunan tinggi. Projek tebatan ini belum dilakukan di Malaysia tetapi sedang diaksanakan di New York dan Tokyo, di mana fenomena UHI boleh menjadi serius pada musim panas.

Beliau percaya pohon-pohon di atas bumbung pencakar langit bukan sahaja boleh membantu mengurangkan kesan UHI tetapi juga suhu tinggi dalaman serta hujan lebat yang membawa aliran air laju daripadanya.

Beliau bimbang jika masalah aliran air laju tidak dikurangkan, ia bukan sahaja akan meningkatkan banjir kilat tetapi juga memburukkan lagi banjir di kawasan bandar yang mengandungi banyak permukaan kedap.

Hujan bulanan adalah lebih kerap di bandar-bandar yang panas, akibat UHI. UHI mengurangkan kualiti udara dengan meningkatkan pengeluaran gas pencemar seperti ozon dan mengurangkan kualiti air kerana air panas mengalir ke dalam kawasan penduduk, yang menekankan ekosistem mereka.

Prof Shaharuddin memulakan kerjayanya di UKM pada tahun 1976 sebagai pengajar di Jabatan Geografi. Pada tahun 1979  beliau memperolehi Ijazah Sarjana dalam Meteorologi Pertanian dari Leeds University, UK dan dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Geografi sekembalinya ke Tanah Air. Beliau memperolehi PhDnya dalam Geografi Perubatan di University of Manchester. Beliau dilantik sebagai Profesor Madya pada tahun 1992 dan seterusnya Profesor Kaji Iklim Gunaan dan Geografi Perubatan pada Jun 2005.