Dua Pakej Tanam Sendiri Cilibangi Dipasarkan

JUMAAT, 07 DISEMBER 2012 00:00
Berita dan foto oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 7 Dis 2012 – Saintis pembiakbakaan yang menghasilkan Cilibangi, Dr Ahmed Mahir Mokhtar Bakri  mengesyorkan penghuni bandar menanam sendiri cabai keperluan mereka di rumah melalui dua pakej bertani.

Beliau menawarkan Pakej Tanam Cilibangi Organik dan Pakej Mini Fertigasi di Rumah berdasarkan konsep “Tanam, Tinggal dan Tuai Cilibangi” .

Pakej pertama terdiri dari sebuah mesin mini pembuat baja kompos dan kedua pula sebuah tong berisi air dan baja yang boleh dibiarkan di pekarangan rumah.

Dua pakej ini dan pengeluaran dua jenis sos Cilibangi, jeruk, ikan bilis goreng dan beberapa jenis baja serta racun serangga membawa Cilibangi ke fasa kedua penghasilannya sejak dilancarkan semula Jun tahun lalu.

Cilibangi dipasarkan oleh Serotech Sdn Bhd, sebuah syarikat terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM Tech.

Ketika ditemui di pameran MAHA 2012 di Mardi minggu lalu, Dr Ahmed Mahir berkata: “Cilibangi amat mudah ditanam di kawasan laman, garaj dan pekarangan rumah sekali pun rumah teres di bandar dan hasilnya rangup, sentiasa segar di samping pedas.”

Ketua Pegawai Eksekutif Serotech, Dr Sharifah Nur Rahimah Syed Alias pula memberitahu syarikat itu telah menerima banyak peluang kerjasama daripada pelbagai pihak untuk projek ‘tambah nilai’ Cilibangi.

Berikutan itu, ia telah menghasilkan sos cili yang dihasilkan daripada Cilibangi merah segar dari ladang. Sos itu didapati amat sesuai di makan bersama masakan bergoreng seperti ayam goreng, cendawan goreng dan lain-lain.

Sos Pencicah pula dihasilkan menggunakan Cilibangi dengan formulasi yang berbeza, menyerupai sos manis dan enak dimakan bersama dengan masakan seperti tempura dan keropok.

Cili Jeruk dihasilkan daripada Cilibangi hijau segar dan sedap serta enak dimakan dengan kueh teow goreng atau mi goreng.

Penghasilan produk-produk sos di bawah jenama Cilibangi ini adalah hasil kerjasama dengan Syarikat Global Agro Divesified Sdn Bhd, kata Dr Sharifah Nur Rahimah.

“Kami ingin menggalakkan syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) yang menggunakan cili dalam produk mereka, menukarnya dengan Cilibangi.

“Antara syarikat yang telah menggunakan Cilibangi dalam produk mereka ialah Pia Ali Sdn Bhd. Syarikat ini menghasilkan produk Ikan Bilis Rangup di bawah jenama Pia Ali.

“Produk ikan bilis rangup ini amat sesuai dijadikan bekalan kepada mereka yang merantau jauh seperti menunaikan umrah dan haji, melancong, sekolah berasrama dan lain-lain.

“Setakat ini, produk berkenaan telah ditempah oleh mereka yang melancong dan ada urusan perniagaan di Manchester, Britain, Paris, Korea, Mesir dan Arab Saudi”.

Beliau berkata Serotech juga mengadakan kerjasama dengan syarikat Weimar Entreprise Sdn Bhd untuk menyediakan Mesin Memproses Sisa Dapur kepada Baja Kompos Organik. Ia membolehkan pengguna memproses baja kompos mereka sendiri selain mengurangkan jumlah buangan sisa dapur.

Penggunaan baja itu akan menambah nilai penanaman Cilibangi.

“Sisa makanan boleh dijadikan kompos hanya dalam tempoh empat atau lima hari sahaja berbanding kaedah konvensional iaitu selama dua atau tiga bulan,” katanya.

Pakej Mini Fertigasi di Rumah pula kata Dr Sharifah adalah berdasarkan konsep “Tanam, Tinggal dan Tuai Cilibangi”.

“Walaupun dalam kesibukan dengan kerjaya masing-masing, peminat Cilibangi masih boleh menanam dan menuai Cilibangi segar di rumah mereka. Mereka tidak memerlukan pembantu rumah untuk menyiram dan membaja, semuanya diuruskan oleh sistem mini fertigasi MyHome Cilibangi.

Terdapat dua pakej dalam program MyHome Cilibangi iaitu, Pakej MyHome Cilibangi 1 terdiri daripada set mini fertigasi cukup untuk 10 pokok Cilibangi. Manakala Pakej MyHome Cilibangi 2 pula adalah satu set mini fertigasi cukup untuk 20 pokok Cilibangi.

Cilibangi adalah hasil penyelidikan lebih 30 tahun oleh Dr Ahmed Mahir yang menghasilkan baka cili kalis penyakit itu.

Dr Ahmed Mahir adalah lulusan Diploma Pertanian, Kolej Pertanian Serdang (kini Universiti Putra) pad 1971 sebelum mendapat ijazah Sarjana Muda Sains dari Louisiana State University, Amerika Syarikat, pada 1975.

Beliau   mendapat ijazah Sarjana Sains (Pembiakbakaan Tumbuhan) 1977 dan PhD (Pembiakbakaan Rintangan Tumbuhan) dari Universiti Missouri-Columbia, Amerika Syarikat pada 1981.

Dr Ahmed Mahir boleh dihubungi melalui emel: drmahir@serotech.com.my dan Dr Sharifah Nur Rahimah melalui:sharifah_nr@serotech.com.my atau laman web: www.serotech.com.my