NGO Wanita Vietnam Berminat Dengan Kajian UKM Terhadap Kepimpinan Wanita

KHAMIS, 20 DISEMBER 2012 08:27

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 13 Dec 2012 – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terulung Vietnam untuk hak-hak Wanita (VWU) ingin mengetahui penyelidikan yang dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengenai kepimpinan wanita.

Naib Presiden Persatuan Wanita Vietnam (VWU), Nguyen Thi Kim Thuy berkata walaupun negara itu mempunyai ramai pemimpin wanita, ia tidak terfikir untuk melakukan penyelidikan demikian.

Puan Thuy telah mengetuai suatu rombongan 10 orang pemimpin wanita Vietnam melawat Malaysia selama dua hari dan telah mengadakan perbincangan dengan Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita UKM, Prof Madya Dr Madeline Berma dan Timbalannya, Dr Bahiyah Dato’ Hj Abdul Hamid di sini hari ini.

Mereka juga telah menemui pegawai Kementerian Wanita, Keluarga dan Kemajuan Masyarakat dan wakil Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO). VWU mewakili semua pertubuhan wanita Vietnam dan peranannya seakan NCWO di Malaysia.

  
Beliau berkata walaupun negaranya mempunyai ramai pemimpin wanita sepanjang sejarahnya baik dalam kerajaan mahu pun perniagaan, suatu kajian mengenai kepimpinan mereka tidak pernah dijalankan.

Sebuah pertubuhannya mungkin mencontohi UKM dan melakukan penyelidikan demikian. Walau bagaimanapun adalah terlalu awal untuknya membuat keputusan memandangkan lawatan beliau ke UKM terlalu singkat.

Beliau menerangkan perlembagaan negaranya tidak membezakan antara lelaki dengan perempuan. Semua jawatan dan pekerjaan terbuka kepada wanita. Bagaimanapun diskriminasi secara halus memang wujud tetapi sukar dibuktikan.

Puan Thuy berkata VWU sering dirujuk apabila keputusan penting hendak dibuat atau draf undang-undang dibentang dalam Perhimpunan Perundingan Rakyat, iaitu parlimen Vietnam.

VWU kini sedang melakukan kajian mengenai wanita, keluarga dan sains. Ia juga mengendalikan latihan untuk wanita di akademi yang baru ditubuhkan di Bandar Ho Chih Minh (Saigon).

  
Beliau berkata di Vietnam terdapat ramai wanita terlibat dalam bidang media dan penerbitan tetapi agak kurang di peringkat pentadbiran tertinggi dan penggubalan dasar. Dalam pendidikan, bilangan wanita dan lelaki memasuki universiti hampir sama, tetapi di peringkat pasca-siswazah dan PhD, wanita juga berkurangan.

Puan Thuy berkata latihan untuk kemahiran bagi sektor pembuatan semakin diperlukan untuk wanita kerana ekonomi Vietnam semakin bergantung kepada industri dan pengilangan.

Prof Madya Berma telah menawarkan bantuan membolehkan VWU menganjurkan kursus ringkas mengenai kepimpinan melalui Rancangan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP).

Pusat Kepimpinan Wanita UKM yang melakukan kajian mengenai kepimpinan wanita telah mengenal pasti 12 calon dalam bidang politik, korporat dan perkhidmatan masyarakat. Ia bertujuan menentukan kualiti tertentu yang didapati pada wanita-wanita itu yang menjadikan mereka pemimpin yang cemerlang.

VWU ditubuhkan pada tahun 1930 ketika zaman penjajahan Perancis. Vietnam mempunyai 80 juta penduduk dalam negara yang sama besar dengan Malaysia.