Pengaruh Seorang Ulama Dan Cendiakawan Turki Terhadap Pendidikan Islam

RABU, 05 DISEMBER 2012 15:44

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 3 Dis 2012 – Para akademik antarabangsa sependapat bahawa pendidikan Islam moden terhutang budi kepada Said Nursi (1878-1960), seorang ulama Turki dan ahli teologi kerana pengaruhnya dalam gerakan kebangkitan Islam di Turki dan seluruh dunia.

Allahyarham Said Nursi, yang menyokong pengajaran sains agama di sekolah sekular dan sains moden di sekolah agama, telah memberi ilham kepada berjuta-juta umat Islam.

Mereka berpandangan bahawa Nursi tidak membedakan antara tugas biasa harian dan Fardu ‘Ain jika ia dilakukan dengan ikhlas. Niat,katanya, adalah segalanya dalam perbuatan dan pertuturan.

Berbincang dalam suatu forum bertajuk Konsep Nursi pada Sainsdi sini hari ini, mereka berpendapat bahawa tidak seperti ulama lain pada masa itu atau pun sekarang, ulama dan pendidik tidak membedakan antara yang Suci dengan Duniawi.

Mereka terdiri dari Profesor Dr Colin Turner dan Puan Mahsid Turner dari Durham University, United Kingdom, Prof Dr Faris Kaya dari Yayasan Sains dan Budaya Turki di Istanbul (Foundation for Science and Culture) dan Prof Madya Dr Ismail Latif Hacinebioglu dari Demeriel University, Turki.

Forum itu dianjurkan oleh Institut Kajian Rantau Asia Barat UKM (IKRAB), Persatuan Kebudayaan Malaysia-Turki (MTCA), Kumpulan Pengajian Penyelidikan Asia Barat (AKRAB) dan Jabatan Kejuruteraan Awam dan Struktur UKM.

Nursi, yang juga seorang guru, berkata ummah yang melakukan perbuatan yang mulia seperti solat dan puasa dengan niat hendak menunjuk-nunjuk, akan mengalami keadaan sia-sia sahaja. Bagaimana pun Mu’min yang melakukan tugas biasa seperti membersihkan sampah demi untuk Allah akan menerima ganjaran daripada Allah.

Hal demikian itu sememangnya terdapat dalam ajaran Islam, tetapi Nursi secara terbuka membidas pihak yang tidak ikhlas. Beliau hidup dalam zaman yang bergolak di mana kritikan demikian biasanya dibalas dengan hukuman penjara atau buang negeri. Nursi pernah dipenjarakan dan dibuang daerah kerana pandangannya.

Prof Kaya, seorang jurutera awam, menyentuh mengenai kekurangan penghayatan agama di Barat pada masa itu. Beliau percaya ajaran Nursi mengenai penggunaan teknologi demi untuk kemajuan Islam. Namun Prof Kaya kecewa masih terdapat di negaranya ramai ulama dan saintis yang hairan dengan pandangan Nursi itu kerana mereka gagal melihat kaitan sains dengan Islam.

Prof Madya Ismail, pula berkata Nursi bukan sahaja mengkaji “musabab dan kesan” biasa dalam sains tetapi juga bertanya “kenapa” sesuatu perkara fenomena berlaku. Beliau berkata saintis Barat telah hilang kepercayaan kepada Tuhan dan cuba mencari punca terhadap berbagai perkara yang berlaku di alam semula jadi, tetapi mereka gagal.

Sebagai contoh, saintis terkemuka masih berhujah tentang bagaimana alam semesta wujud, tanpa memberi kesimpulan yang memuaskan. Walau bagaimanapun, Nursi melihat alam dan Alam Semesta sebagai suci, dengan Tuhan sebagai penciptanya. Walaupun saintis Barat mengetahui bagaimana matahari naik dan turun, Nursi melihat makna yang lebih mendalam: mengapa Allah menciptakan matahari –ia itu untuk hidupan pelbagai makhluk di dunia.

Prof Turner, pula, berkata Nursi menjadi terkenal selepas mengarang karya agungnya Risale-i-Nur, atau Risalah Cahaya – koleksi buku-buku Tafsir Al-Quran.

Bagaimanapun Nursi memberi ulasan kepada ayat-ayat itu selaras dengan isu-isu semasa, dengan cuba menjawab keraguan tentang doktrin dan prinsip-prinsip asas Islam yang timbul pada awal abad ke-20 yang masih relevan hari ini.

Prof Turner berkata Nursi dan beberapa pemikir Islam lain seperti Jamaluddin Afghani mengesyorkan pembelajaran sains bukan untuk keuntungan kebendaan atau apa-apa faedah duniawi, tetapi untuk kemuliaan Allah sebagai matlamat utama.

Mereka menyifatkan model sains Barat sebagai bermatlamat kepentingan diri duniawi. Nursi berpandangan semua ilmu adalah suci dan tidak ada beda antara yang kudus dengan yang duniawi. Segala-galanya di Alam Semesta suci kerana semuanya datang dari Pencipta.

Puan Turner, yang memprolehi Ijazah Sarjana bertajuk “Bolehkah kesan agama dan kerohanian diukur secara saintifik?” menerangkan bahawa Nursi merujuk kepada soalan itu dalam salah satu bukunya.

Beliau berkata Nursi membuat kesimpulan bahawa ketakwaan tidak boleh diukur kerana tiada siapa yang boleh pasti menentukan tahap ketakwaan. Ia bermaksud kesan agama hanya boleh terlihat pada zahirnya (ekstrinsik), tetapi tiada siapa yang boleh pastikan niat sebenar (intrinsik) seseorang itu melainkan dia sendiri.

Sebenarnya, tambah Puan Turner, Nursi mempunyai pandangan sinis dan tidak puas hati dengan persepsi masyarakat bahawa mereka yang berpakaian jubah atau bertudung adalah orang alim. Tanggapan seperti ini masih wujud hingga ke hari ini.

Nursi diberi gelaran Bediuzzaman, yang bermaksud “Kegemilangan Zaman”. Ahli akademik yang mengkaji kehidupan Said Nursi membahagikannya kepada dua fasa; “Said Awal” dan “Said Kemudian”.

Fasa awal menceritakan kehidupannya sebagai anak kepada petani Kurdish dan pendidikan di sekolah rendah dan tinggi, di mana beliau berjaya mengatasi guru-gurunya. Nursi kemudianya dibenarkan mengguna perpustakaan gabenor wilayah Van. Selepas lulus dari universiti, beliau berselisih faham dengan pihak berkuasa Uthmaniyyah kerana terlalu pantas cuba memperkenalkan perubahan dalam sistem pendidikan. Beliau terus menentang dan akibatnya dipenjara dan dibuang daerah.

Selepas perang Dunia Pertama dan kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah, kerjaya beliau sebagai pendidik dipulihkan oleh kerajaan baru pimpinan Kamal Ataturk. Bagaimanapun beliau membidas Ataturk kerana terlalu cenderung kepada Barat.

Ataturk telah menawarkan Nursi jawatan sebagai Menteri Hal-Ehwal Agama, tetapi beliau menolaknya. Beliau terus mengarang buku yang kemudiannya diharamkan tetapi disalin oleh pengikut-pengikutnya dan disebarkan ke seluruh Turki. Beliau kemudian dipenjarakan sekali lagi dan dibuang daerah.

Bagaimanapun pada tahun 1949 beliau dibebaskan dan menasihati penyokongnyauntuk mengundi Parti Demokrat pimpinan Adnan Menderes yang didokong oleh penduduk luar bandar dan konservatif. Pada tahun 1956 hasil tulisannya dibenarkan dicetak dan koleksi itu dinamakan Risale -i- Nur.