Penyelidikan Yang Tidak Dihebahkan Bukanlah Penyelidikan Kata Penasihat Sains Ulung Eropah

JUMAAT, 07 DISEMBER 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Penerbit UKM

BANGI, 6 Dis 2012 – Ahli-ahli Sains dan penyelidik harus lebih berjiwa rakyat bagi menarik perhatian orang ramai mengenai peluang kerjaya dalam bidang sains dan teknologi.

Pegawai Sains Ulung Suruhanjaya Eropah, Profesor Dr Anne Glover berkata mereka juga mesti mesra rakyat bagi membuktikan bahawa pakar sains juga prihatin terhadap keperluan orang ramai.

Prof Glover berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk “Penyelidikan yang tidak dihebahkan bukanlah penyelidikan” dalam Persidangan Persatuan Universiti Asia dan Pasifik (AUAP) ke 9 hari ini. Persidangan itu memaparkan 25 pembentangan kertas penyelidikan dan cadangan daripada Malaysia dan negara anggota ASEAN lain, China, India, Emiriyah Arab Bersatu, Jepun, Korea Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat antara lain.

Beliau berkata penyelidik dan saintis harus mempunyai hubungan baik dengan orang yang kurang berpengetahuan teknologi dengan cara yang mudah difahami.

Mereka yang kurang berpengetahuan mengenai sains mungkin boleh membiayai atau menghulurkan dana kepada penyelidik jika saintis itu lebih mesra.

Pada amnya orang awam memandang serong terhadap ahli sains kerana persepsi yang kononnya mereka pelik dan berwajah tidak menyenangkan. Walaupun rakyat jelata kurang memahami sains, penggunaan teknologi dalam hidup harian semakin meningkat.

Katanya, penyelidik dan ahli sains perlu menjadi contoh dengan menukar wajah supaya kelihatan menarik dan senang bergaul. Mereka perlu peka terhadap kebimbangan orang ramai mengenai isu-isu seperti pencemaran, makanan yang diubahsuai secara genetik dan tenaga lestari.

Dalam pada itu, Prof Glover juga percaya bahawa sains adalah suatu budaya atau seni, iaitu bidang yang lebih diberi perhatian oleh orang ramai. Beliau menyebut Michelangelo and Leonardo Da Vinci, dua tokoh zaman reformasi renaissance, sebagai pakar seni yang mengguna kaedah saintifik dalam kesenian.

Pada zaman sekarang pula, tokoh-tokoh teknologi seperti Bill Gates, Steve Jobs, Mark Zuckerberg, Sergei Brin dan Larry Page memang berlatarbelakang Sains. Bagaimanapun mereka menjadi terkenal kerana imej mereka sebagai usahawan yang berjaya. Lebih penting lagi, mereka menjadi ikon yang menarik kepada remaja kerana mereka peka kepada keperluan orang ramai.

Prof Glover menyatakan bahawa tokoh-tokoh moden itu tidak akan berjaya menghasilkan produk teknologi tinggi seperti Windows, Komputer Peribadi, I-Phone, laman rangkaian sosial dan enjin carian jika mereka tidak mengatasi cabaran sains lebih awal lagi.

 

Mereka menjadi terkenal kerana pintar berniaga. Bagaimana pun kejayaan saintifik mereka kurang diberi perhatian. Golongan remaja menganggap mereka sebagai teladan walaupun tidak berminat dalam sains.

Prof Glover, yang memperoleh ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Biokimia di University of Aberdeen, Scotland, berkata apabila memasuki University Cambridge 30 tahun lalu untuk mendapatkan PhDnya dalam Biologi Molekul, beliau pada mulanya adalah seorang pemalu.

Beliau cuba berubah wajah, menjadi lebih peramah dan sedia berbincang mengenai perkara yang bukan saintifik. Usaha itu berbaloi kerana beliau lebih dihormati dari segi sosial dan profesional.

Prof Glover, yang masih memegang Kursi Peribadi Biologi Molekul dan Sel di University of Aberdeen, telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Penasihat Sains Suruhanjaya Eropah pada Disember 2011. Dalam kapasiti ini, beliau menasihati Presiden Suruhanjaya mengenai dasar saintifik. Beliau juga bertindak sebagai duta untuk sains Eropah, yang mempromosi nilai-nilai saintifik di Eropah.

Dari Ogos 2006 hingga Disember 2011, beliau adalah Ketua Penasihat Saintifik pertama untuk Scotland, yang mana beliau meningkatkan lagi kewibawaan Scotland sebagai negara sains. Beliau memegang kursi Jawatankuasa Penasihat Sains Scotland sambil berkhidmat di Majlis Penasihat Ekonomi Scotland sehingga pelantikannya di Suruhanjaya Eropah pada tahun ini.

Beliau telah dianugerahkan CBE (Commander of the British Empire) kerana sumbangannya kepada sains alam sekitar oleh Ratu Elizabeth II pada tahun 2009.

Prof Glover memberi penekanan kepada bukti untuk menyokong dasar sains. Beliau juga memperjuangkan usaha meningkatkan komunikasi sains bagi meyakinkan masyarakat terhadapnya dan berjuang untuk hak asasi wanita.