UKM Hargai Pesara dan Warga Cemerlangnya

RABU, 26 DISEMBER 2012 08:29 ADMINISTRATOR

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim

BANGI, 24 Dis 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah meraikan seramai 1032 warganya yang menerima anugerah kecemerlangan serta 87 warga yang telah dan akan bersara tahun ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DEKTAR) di sini pada awal bulan.

Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata universiti mengharapkan semua warganya bergerak kearah kecemerlangan dengan menanda aras kepada perkhidmatan terbaik di dunia.

“Jika kita inginkan yang terbaik untuk menjadi universiti cemerlang, kita perlu memberi perkihdmatan terbaik.” Perkhidmatan terbaik itu dilahirkan daripada kakitangan yang komited kepada wawasan dan pelan transformasi UKM, katanya.

Beliau berkata warganya yang menerima anugerah cemerlang memikul tanggungjawab mempengaruhi dan memberi tunjuk-ajar kepada rakan sekerja untuk meningkatkan prestasi mereka kearah kecemerlangan.

Prof Sharifah Hapsah juga telah memberi penghargaan kepada warganya yang bersara dan akan bersara kerana khidmat mereka dengan harapan mereka akan terus menyumbang sebagai ahli “Persatuan Alumni Pekerja UKM”.


Beliau berterima kasih kepada mereka atas segala sumbangan serta usaha, masa dan tenaga sepanjang tempoh perkhidmatan di UKM.


Prof Dr Musalmah Mazlan berucap bagi pihak mereka yang telah dan akan bersara berterima kasih kepada pengurusan universiti keranatelah memberi peluang kepada mereka memperbaiki kedua-dua bidang profesional dan peribadi mereka serta menganjurkan majlis itu.