Prof Dari UKM Dicalonkan Untuk Anugerah Pencapaian Malaysia Pertama

RABU, 08 FEBRUARI 2012 09:40

web2.0a

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 3 Feb. 2012 – Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Akademik (e-Pendidikan) UKM, Prof Dr Mohamed Amin Embi, telah dipilih sebagai seorang daripada dua calon finalis penerima Anugerah Pencapaian Malaysia Pertama, bagi Kategori Pendidikan.

Pertubuhan Pencapaian Malaysia telah mengutus sepucuk surat kepada beliau Rabu kelmarin menerangkan bahawa Jawatankuasa Kerjanya telah memilih beliau sebagai finalis untuk anugerah itu kerana pencapaiannya didapati adalah suatu contoh cemerlang.

Pemilihan itu kini diserahkan kepada auditor rasmi dan Jawatankuasa Eksekutif untuk penilaian dan pemilihan terakhir bagi menentukan penerima setiap kategori.

Pertimbangan untuk anugerah itu dibuat ke atas lapan kategori termasuk perubatan, kesihatan dan kecantikan selain kesenian dan kebudayaan dengan empat finalis bagi setiap kategori terdiri dari dua pertubuhan dan dua individu.

Penyampaian anugerah kepada semua penerima di jadual berlangsung pada 23 Februari ini dalam satu majlis jamuan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Semua finalis akan menerima sijil serta piala.

Prof Amin dicalonkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi difahamkan berdasar kepada kemenangannya menerima Hadiah ISESCO untuk Sains dan Teknologi 2010.

Prof Amin adalah di antara enam saintis dari negara-negara Islam diberikan anugerah oleh pertubuhan yang ditubuhkan Organisasi Negara-Negara Islam (OIC) berpejabat di Rabat, Maghribi.

Beliau juga telah menerbitkan sebuah eBuku berjudul ‘Web 2.0 Tools in Education: A Quick Guide’ juga pada bulan Okt. 2010 yang berjaya menarik 6,000 pembaca sebahagian besar dari Amerika Syarikat, dalam tempoh tiga bulan selepas dimuat naik ke laman Scribd.com.

eBuku yang boleh dimuat turun secara percuma itu adalah sebahagian daripada usaha UKM menyumbang kepada Sumber Pendidikan Terbuka – OER  (Open Educational Resource).