Program Rintis Tekankan Kesedaran Alam Sekitar

SELASA, 21 FEBRUARI 2012 09:09

alam sekitar 1

Berita dan Foto oleh Mohd Noor Ramly

KUALA SELANGOR, 16 Feb. 2012 – Suatu program Perintis Kesedaran Alam UKM-MNS telah berlangsung di Taman Alam, di sini dengan membabitkan 24 orang pelajar Kelab Rakan Taman UKM yang berakhir hari ini.

Ia dilaksanakan untuk menerap dan memberi pendedahan mengenai pemuliharaan alam sekitar dan khidmat sukarelawan, di samping memupuk nilai murni dan kompotensi generik pelajar UKM.

Pelajar itu adalah dari Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Pendidikan dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM. Selain pengetahuan khusus daripada kajian yang dijalankan, mereka juga dapat meningkatkan kompetensi pengetahuan dan kebolehan pasaran mereka melalui kemahiran komunikasi dan pengurusan maklumat.

Ia ditutup secara rasminya oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill, di sini hari ini.

Prof Saran berkata program itu adalah contoh terbaik mengenai penglibatan dan kesukarelawanan pelajar yang saling memberikan manfaat bukan saja kepada mereka tetapi juga kepada pihak berkepentingan dan masyarakat.

Ia menyediakan peluang pembelajaran berdasarkan pengalaman melalui latihan penyediaan penunjuk biologi dalam ekosistem bakau di kawasan itu.

Program itu telah berlansung dari 30 Januari hingga hari ini dan dianjurkan dengan kerjasama Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat (HEJIM), Fakulti Sains dan Teknologi UKM (FST) dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) serta Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) di Taman Alam, Kuala Selangor.

Selain pengetahuan khusus daripada kajian yang dijalankan, para pelajar juga dapat meningkatkan kompetensi dan kebolehan pasaran mereka melalui kemahiran komunikasi dan pengurusan maklumat.

MNS pula dapat mengumpul data yang diperlukan hasil kajian pelajar itu di kawasan kendaliannya itu dan yang paling penting pengetahuan tentang kesedaran pemuliharaan alam sekitar itu dapat disebarkan kepada masyarakat setempat.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti Pemahaman Kepentingan Biodiversiti Alam, Kempen Kesedaran Alam, Pemantauan Burung dan Kelip-Kelip, Pembangunan Modul Pendidikan dan Khidmat Sukarelawan Alam.

Hadir di acara penutup itu ialah Pengurus Program Konservasi MNS, Puan Maye Yap; wakil dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof Dr Mohamad Deraman; Penasihat Program Dr Wan Jualiana Wan Ahmad; wakil HEJIM, Lestari dan Taman Alam Kuala Selangor.