Menjana Pekerjaan Menerusi Pendidikan

vc 1
Oleh Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Shahabudin

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia

Di masa lampau semua lulusan universiti terjamin memperolehi pekerjaan yang baik khususnya dalam perkhidmatan awam yang sedang pesat berkembang. Apabila negara mencebur diri dalam perindustrian, ramai pula diterima bekerja dengan pihak swasta. Malah ada mahasiswa yang terus mendapat tawaran pekerjaan ketika masih berada di tahun akhir pengajian mereka.

Namun keadaan ini sudah berlalu. Graduan termasuk yang memperolehi biasiswa pun tidak lagi terjamin akan diberi pekerjaan. Keadaan ekonomi adalah satu faktor penyebab sebagaimana juga faktor kebolehupayaan graduan itu sendiri mendapat pekerjaan. Kita perlu berusaha menangani kedua-dua faktor ini supaya pengangguran tidak akan menjadi satu masalah rumit di kalangan graduan.

Nampaknya masalah yang amat meresahkan kita dewasa ini bukannya peningkatan kos rawatan pesakit, puak pelampau dan keganasan global atau pun pencemaran alam sekitar tetapi ketandusan pekerjaan yang baik untuk semua. Dalam buku The Coming Jobs War yang berdasarkan satu bancian tentang pendapat orang ramai, penulisnya Jim Clifton, Pengerusi dan CEO Gallup, menyatakan dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini, masyarakat telah berubah daripada menginginkan kasih sayang, wang, makanan, perlindungan, keselamatan, kedamaian dan kebebasan kepada desakan untuk mendapat pekerjaan yang baik untuk diri dan anak-anak mereka.

Bancian ini juga mendapati bahawa 3 bilion daripada sejumlah 5 bilion manusia berumur 15 tahun ke atas memaklumkan kepada Gallup bahawa mereka sedang bekerja atau mahukan pekerjaan. Masalahnya, kini terdapat hanya 1.2 bilion pekerjaan formal sekurang-kurangnya 30 jam, dengan pendapatan tetap.

Keadaan ini boleh mewujudkan tekanan yang boleh menggugat kestabilan masyarakat akibat 1.8 bilion orang, merangkumi hingga seperempat daripada keseluruhan jumlah manusia di dunia, tidak mempunyai pekerjaan tetap. Pengangguran adalah masalah besar yang boleh mendatangkan kekecewaan dan kehampaan rakyat sesebuah negara. Ini dengan sendirinya boleh menyebabkan kemerosotan nisbah Kesejahteraan Negara. Penganggur adalah rakyat yang amat murung sehingga ada yang memerlukan lebih banyak rawatan kesihatan.

Pekerjaan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mempunyai perhubungan rapat. Tanpa pertumbuhan KDNK penambahan pekerjaan tidak akan berlaku. Apabila tidak ada penambahan pekerjaan, pertumbuhan KDNK juga tidak akan berlaku. Justeru penjanaan pekerjaan baru dan pertumbuhan baik KDNK adalah antara unsur perubahan utama yang boleh membawa kepada kesejahteraan dunia.

Maka, Program Transformasi Negara (PTN) yang diharap membuahkan hasil dalam jangka masa Rancangan Malaysia ke-10 dan ke-11 seiring dengan Model Ekonomi Baru adalah langkah tepat untuk menjana peluang pekerjaan. Wawasan mencapai taraf negara berpendapatan tinggi adalah sejajar dengan rangsangan pertumbuhan ekonomi, penjanaan pekerjaan dan penarikan pelaburan. Matlamat akhirnya adalah jaminan peningkatan kualiti hidup rakyat di mana tidak seorang pun akan terpinggir manakala masa hadapan generasi akan datang tidak pula terabai.

Pelajaran adalah asas dan landasan kepada PTN. Ia adalah juga satu daripada tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan dan merupakan satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam Program Transformasi Ekonomi selain keperluannya Program Transformasi Luar Bandar dan Program Transformasi Politik.

Dengan itu, Pengetua Sekolah dan Naib Canselor universiti harus berpandangan jauh dan tidak hanya tertumpu kepada kadar kelulusan para graduan tetapi turut memberi tumpuan kepada pendidikan yang dapat menjamin peluang pekerjaan yang lebih cerah.

Kebanyakan pekerjaan kini dijana oleh syarikat kecil dan sederhana (SKS). Di Amerika Syarikat misalnya 99 peratus daripada sejumlah enam juta syarikatnya mempunyai kurang daripada 500 pekerja. Penubuhan SKS pula memerlukan pencipta inovasi dan usahawan.

Bagaimana pun pencipta inovasi sahaja tidak memadai. Inovasi belum tentu dapat dimajukan tanpa adanya pengusaha berbakat yang boleh menilai dan menterjemahkan inovasi itu untuk dibangunkan sebagai suatu usaha perniagaan. Pengusaha itu harus pula sudah mempunyai corak dan strategi perniagaan hingga dapat mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang boleh memenuhi kehendak pengguna untuk jualan dan mendatangkan keuntungan. Pertumbuhan KDNK dan penjanaan pekerjaan akan terlaksana dengan hasil perniagaan bukannya daripada inovasi semata-mata.

Universiti perlu menyumbang kepada transformasi kebangsaan bukan sahaja dengan penghasilan para graduan yang memenuhi keperluan ekonomi baru serta menjana ilmu untuk menyokong sistem inovasi kebangsaan, tetapi juga berperanan menjana pekerjaan.

Maka, sebuah universiti penyelidikan seperti UKM perlu memupuk budaya inovasi dan keusahawanan sebagai suatu nilai teras akademiknya. Inovasi, khususnya inovasi berteknologi memupuk dinamisme keusahawanan bagi merangsang pertumbuhan perniagaan dan menghasilkan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Menerusi inovasi dan keusahawanan universiti bukan sahaja menghasilkan jurutera, saintis dan pereka ciptaan, tetapi juga pengusaha dan kelompok berbakat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang boleh memberi nilai tambah kepada syarikat terbitan universiti yang memberi manfaat kepada institusi, fakulti dan pelajar. Lebih penting lagi budaya inovasi dan keusahawanan akan dapat menanam keyakinan dan meningkat semangat para graduan untuk membenih idea sehingga tumbuh subur sebagai perniagaan melalui inovasi dan keusahawanan.

Misalnya di UKM pelajar semua bidang pengajian sejak tahun pertama lagi sehingga tahun akhir didedahkan kepada usaha dan pengalaman membawa hasil penyelidikan kepada pasaran. Mereka juga diberi ruang bekerja dengan SKS untuk menyelesaikan masalah sebenar dengan memenuhi kehendak pasaran.

Diperingkat pascaijazah, pelajar MBA bekerjasama dengan penyelidik dan pensyarah mereka untuk menjana idea perniagaan. Pada akhirnya, para pelajar akan tamat pengajian dengan kebolehan untuk memula dan melancarkan syarikat perniagaan baru atau sebaliknya berkeupayaan meningkatkan produktiviti majikan melalui inovasi yang mereka bawa.

Mengubah pemikiran para akademik supaya menerima prinsip dan budaya keusahawanan yang berpegang kepada kehendak pasaran adalah tidak mudah. Bagaimana pun kita perlu terus berusaha merapatkan jurang perbezaan budaya dan membina serta menerapkan kekuatan kedua pihak. Kalau tidak, kita akan menghadapi risiko kehilangan lebih ramai tenaga mahir dan berbakat kepada negara dan kota yang bersedia sahaja menerima untuk memanfaatkan kepakaran, inovasi serta kemahiran dan pengetahuan keusahawanan mereka itu. Sekarang ini pun sudah ada negara termasuk yang berdekatan dengan kita yang berjaya memikat rakyat kita yang berbakat sehingga mereka dapat membina jentera pertumbuhan ekonomi yang besar yang menjana banyak peluang pekerjaan.

Justeru, kita tidak harus tewas dalam persaingan menyediakan pekerjaan kepada bakat-bakat kita.