26 Orang Pelajar Antarabangsa Mendapat Faedah Program Mobiliti Pelajar UKM

SABTU, 21 JULAI 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Hj Ismail Ibrahim (Penerbit UKM) 

BANGI, 18 Julai 2012 – Dua puluh enam pelajar dari berbagai universiti luar negara telah tamat mengikuti program Perkongsian Mobiliti Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) keempat hari ini.

Mereka terdiri dari pelajar dari beberapa universiti di Asia termasuk Hong Kong Polytechnic University, Royal Melbourne Institute of Technology Australia, Universidad Intercultural del Estado de Mexico (UIEM) dan buat kali pertama tahun ini seorang pelajar dari Uzbekistan dan dua orang penuntut dari Kolej Kesihatan Daegu, Korea Selatan.

Mereka telah menghabiskan masa selama tiga minggu mengalami cara kehidupan dan pendidikan di Malaysia dan pulang dengan kenangan manis dari program Perkongsian Mobiliti Pelajar UKM-Global keempat itu.

Mereka telah berkumpul untuk pertemuan terakhir di kampus UKM di sini hari ini untuk majlis penutup program dan telah menerima sijil tamat kursus dari Naib Canselor Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Program itu memberi peluang kepada mereka memilih antara dua program: Komuniti Pribumi Malaysia dan Kelestarian Warisan Tropika.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa), Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berharap penyertaan mereka dalam program selama tiga minggu itu telah manfaatkan jalinan persahabatan dan membina jambatan persefahaman di kalangan mereka dan pelajar Malaysia.

Beliau berkata kursus yang tawarkan menunjukkan UKM mengambil berat terhadap persoalan pembangunan lestari dan usaha memulihara warisan tradisi warga pribuminya.

Program itu telah menggabungkan kehidupan universiti di UKM serta pembabitan mereka dengan pelbagai budaya, corak hidup dan alam semula jadi Malaysia.

Mereka yang mengikuti program Kelestarian Warisan Tropika (STH) telah menjelajah ke Langkawi termasuk Lembah Danum dan memerhatikan sendiri usaha pemuliharaan dan pembangunan mampan.

Peserta program bersama Komuniti Orang Asli Malaysia (ICM), pula melawat dan tinggal bersama Orang Asli Mahmeri di Pulau Carey dekat Klang, Kaum Batik di Kuala Tahan, Pahang serta telah tinggal bersama dengan kaum Iban Sarawak di rumah panjang dan juga melihat kehidupan rakyat pribumi Sabah.

Pejabat Perhubungan Antarabangsa dipimpin Pengarahnya, Prof Dr. Imran Ho menyelaras dan mengarahkan pelaksanaan program serta pemilihan peserta antarabangsa.

 

Program dilangsungkan dengan kerjasama Fakulti-fakulti Sains dan Teknologi; Sains Sosial dan Kemanusiaan; Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Institut Kajian Oksidental (IKON), Penerbit UKM, Pusat Perubatan UKM dan Kolej Kediaman Dato Onn.

Persatuan Taman-Taman Sabah, Pusat Penyelidikan Lembah Danum dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) turut bekerjasama menjayakan program itu.

Program Masyarakat Pribumi Malaysia (ICM) diselaraskan antaranya oleh Dr Novel Lindon, Prof. Madya Dr Junaenah Sulihan, Prof Kamarudin Said dan Prof Ong Puay Liu manakala program Kelestarian Warisan Tropika (STH) diselia oleh Prof Madya Dr Norhayati Ahmad, Dr Tanot Unjah dan Dr Ahmad Aldrie Amir antara lain.