Kelab Pelajar OKU UKM Ditubuh

ISNIN, 02 JULAI 2012 00:00

Oleh Nastura Nasir
Foto Muhammad Izwan Azman

BANGI, 2 Julai 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia yang telah mendaftarkan sebuah pertubuhan untuk pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU)nya dikenali sebagai Kelab Mahasiswa Istimewa UKM.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah telah melancarkan penubuhannya akhir minggu lalu dan telah beramah mesra dengan pelajar OKU itu yang hadir.

Menurut Unit Kebajikan Pelajar UKM (JPPel), kini terdapat 34 orang pelajar OKU sedang melanjutkan pelajaran mereka di pelbagai fakulti dan bidang di UKM kebanyakannya di peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana. Ada juga yang sedang melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah.

Dato’ Saifuddin menyeru kepimpinan, pensyarah, pentadbir dan pelajar IPT menggunakan pendekatan baru, untuk memberi “penghakupayaan” kepada pelajar OKU.

Ini penting kerana ia menyediakan situasi di mana IPT membenarkan pelajar OKU berfikir dan bertindak sendiri dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi serta mengejar matlamat mencapai kejayaan untuk menuntut ilmu.

IPT, kata Saifuddin, hanya membantu dari segi memfasilitasi pemikiran dan tindakan mereka. Ia dilihat berkesan kerana pelajar OKU lebih memahami masalah yang dihadapi mereka dan cara penyelesaiannya.

Beliau sedar bahawa pelajar OKU tidak mahu dianggap memiliki kekurangan-kekurangan yang menyebabkan IPT terpaksa melayan mereka dengan cara yang berbeza dengan pelajar lain. Tetapi sebenarnya mereka dilihat mahu berdikari.

Justeru, peranan IPT dalam membantu golongan ini adalah dengan memfasilitasi sifat kendiri mereka, memasukkan pelajar OKU di IPT di seluruh negara, memasukkan bantuan kewangan yang disediakan dan memperkasa dasar atau pelan tindakan KPT yang berkaitan.

Dato’ Saifuddin berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sendiri menggalakkkan individu OKU melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi dengan menyediakan bantuan kewangan ke pusat pengajian tinggi termasuk Politeknik dan Kolej Komuniti.

Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Dr Othman A Karim berkata, penubuhan Kelab Mahasiswa Istimewa UKM itu akan menjadi penghubung bagi memastikan hak-hak selayaknya kepada pelajar OKU disampaikan terus kepada pihak pengurusan universiti dan menjadikan usaha kearah membina sokongan mesra OKU dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

Pentadbiran universiti juga cukup terbuka untuk menerima sebarang perbincangan sebagai langkah sokongan terhadap penghayatan nilai-nilai kemasyarakatan di kalangan warga UKM dan seterusnya membina universiti yang “mesra OKU”, tambah beliau.