Kereta Solar UKM Memenangi Shell Eco Marathon Bagi Ketegorinya

ISNIN, 09 JULAI 2012 08:54

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi & Edelman

SEPANG, 7 Julai 2012- Kereta Solar direka dan dibina oleh sekumpulan pelajar UKM memenangi peraduan Shell Asia Eco Marathon untuk kereta konsep bandar dengan kuasa suria di Litar Lumba Antarabangsa Sepang di sini hari ini. Mereka memenangi wang tunai US$2000 serta piala.

Kereta pasukan UKM yang memenangi kategori tenaga suria diberi nama ‘UKM 1’ ialah kereta solar yang berkonsepkan penggunaan di bandar didapati yang paling menjimatkan dari segi pengunaan tenaga dalam pertandingan itu.

Sejumlah 119 pasukan siswa dari 18 buah negara rantau ini telah mengambil bahagian bagi peringkat Asia. Pertandingan seumpama telah pun berlangsung di Eropah dan Amerika Syarikat.

Pertandingan Shell Asia Eco Marathon adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Shell untuk mengalakkan siswa universiti mencipta kenderaan yang mampu bergerak sejauh mungkin dengan menggunakan tenaga paling sedikit.

Kebanyakkan kenderaan yang mengambil bahagian mempunyai reka bentuk futuristik.

Ketua pasukan UKM1, Neo Ron Gen seorang pelajar kejuruteraan mekanikal berkata kejayaan mereka adalah berkat tekun dan dedikasi anggota kumpulan yang mendapat bimbingan pensyarah mereka, Zulkhairi Zainol Abidin yang sentiasa tampil memberi tunjuk ajar apabila diperlukan.

Kategori urban konsep berkehendakan kereta yang mengambil bahagian harus menyerupai kereta yang ada dijalanan masa kini.

Dua buah lagi kereta rekaan pasukan UKM telah mengambil bahagian bagi kategori konsep bandar dengan menggunakan etanol dan hidrogen sebagai sumber tenaga.

Kedua-dua kereta itu di pertandingkan di bawah kategori prototaip. Kenderaan prototaip adalah kenderaan yang bersaiz kecil dengan reka bentuk futuristik yang mampu mengurangkan heretan dan memaksimakan keberkesanan.

Pasukan dari University Malaya (UM), University Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan University Malaysia Pahang (UMP) turut memenangi hadiah wang tunai dan piala dalam beberapa kategori lain.

Pelajar dari Dhurakij Pubdit University Negeri Thai menjuarai keseluruhan perlumbaan itu dengan jarak terbaik iaitu sejauh 2,903 km – sama jauhnya seperti memandu dari Kuala Lumpur ke Hanoi menggunakan satu liter bahan bakar.

Para Duta, pihak-pihak berkepentingan dan pemimpin industry dari Malaysia dan rantau Asia, turut hadir di samping 1500 pelawat dan peserta yang menyaksikan perlumbaan.