Kerjasama UKM ICRC Mahu Diluaskan Kepada Fakulti Lain

KHAMIS, 19 JULAI 2012 11:46

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI 16 July 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berharap lebih banyak fakulti dan pusat penyelidikannya akan  mengambil bahagian dalam program Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) selain dari Fakulti Undang-Undang.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa), Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata sebagai universiti penyelidikan, UKM mungkin dapat menawarkan bantuan kepada ICRC dalam bidang Logistik dan Penjagaan Kesihatan.

Beliau yang juga seorang pakar ekonomi mencadangkan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan menyumbang kepakaran mereka dalam hal-hal bersangkutan pembekalan.

Prof Noor Azlan berkata kerjasama yang lebih meluas itu boleh memberikan manfaat kepada kedua pihak. Bagi UKM sendiri program demikian boleh menjadi pengalaman pembelajaran yang baik untuk fakulti dan pusat-pusat penyelidikan yang lain dan berharap ICRC akan menimbang tawaran itu.

Prof Noor Azlan berkata demikian ketika merasmikan Sesi Latihan Ketujuh untuk Asia Tenggara dan Asia Timur mengenai Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) yang dianjurkan ICRC bersama Fakulti Undang-Undang UKM di sini malam ini. Program latihan enam hari itu yang bermula kelmarin berakhir Jumaat 20 Julai ini.

Turut hadir di perasmian dan makan malam itu ialah Ketua Perwakilan Serantau ICRC, Tobias Epprecht dan Penasihat Undang-Undang Serantaunya, Richard DesGagne.

Beliau turut memohon jasa baik ICRC untuk memperkenalkan UKM kepada rakan-rakannya dari negara lain, terutama universiti dan institut penyelidikan yang mempunyai kepakaran dalam Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa.

Dengan itu UKM boleh mengatur program pertukaran siswa dan kakitangan akademiknya di mana pelajar boleh memindah kredit manakala ahli akademik boleh mengikuti program felo.

Ini merupakan tahun ketiga bagi program diadakan di UKM selepas Memoradum Persefahaman (MoU) ditandatangani pada tahun 2010 untuk tempoh dua tahun.

Sesi Pengajaran membawa peserta-peserta dari pelbagai negara di Asia Tenggara dan Asia Timur seperti China, Indonesia, Jepun, Malaysia, Myanmar, Singapura, Taiwan, Thailand, Korea Selatan dan Filipina.