Lapan Orang Penyelidik Dan Saintis UKM Dilantik Sebagai Felo Akademi Sains

RABU, 25 JULAI 2012 16:21

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 23 Julai 2012 –Seramai lapan orang penyelidik dan ahli sains Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dilantik sebagai Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) sejak bulan Mei.

Mereka adalah diantara 24 penyelidik dan ahli sains yang dilantik sebagai Felo ASM tahun ini.

Empat daripada mereka adalah dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) terdiri dari Profesor Dr Yang Farina Abd Aziz, Profesor Dr Joy Jacqueline Pereira, Profesor Dr R Wickneswari dan Profesor Dr Mohd Shafeea Leman.

Seorang lagi ialah Professor Ir Dr Mohd Jailani Md Noor, dahulunya dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina dan kini dipinjamkan ke Universiti Teknikal Malaysia Malacca sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).

Tiga lagi saintis dan penyelidik UKM yang dilantik sebagai Felo ASM adalah Prof Dr Normah Mohd Noor, Pengarah Institut Biologi Sistem (IMBIOSIS), Prof Dr Salmaan H Inayat Hussain Dekan Fakulti Sains Kesihatan dan Profesor Toxikologi dan Prof Ir Dr Wan Ramli Wan Daud, Pengarah Institut SelFuel dan Prof Kejuruteraan Kimia di Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.

ASM adalah sebuah badan berkanun kerajaan yang dibentuk untuk menggalak dan meningkatkan kecemerlangan dalam bidang Kejuruteraan, Sains dan Teknologi untuk pembangunan negara dan manfaat awam.

Felo dilantik dari kalangan rakyat Malaysia berdasarkan pencapaian mereka dalam Sains, Kejuruteraan dan Teknologi yang dianggap mempunyai merit yang luar biasa.

Prof Yang Farina yang berkhidmat di Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan telah melakukan kajian ke atas ion logam, terutamanya bijih timah dan dilaporkan menemui kompleks daripada unsur yang mungkin boleh digunakan sebagai agen anti-barah.

Penyelidikan kumpulan beliau bertujuan menentukan sama ada kompleks organotimah adalah toksik dan boleh digunakan untuk pengubatan.

Sehingga kini kumpulannya telah berjaya menghasilkan lebih 150 kompleks .

Prof Wickneswari ialah penyelidik genetik tumbuhan dan bioteknologi di Fakulti Sains dan Teknologi.

Beliau dan kira-kira 14 ahli sains lain telah bertungkus-lumus sejak tahun 2002 mengkaji untuk menghasilkan jenis beras yang dinamakan UKMRC9 yang bukan sahaja boleh meningkatkan hasil padi tetapi juga mempunyai ciri-ciri indeks gylcaemik rendah yang sesuai untuk pesakit kencing manis.

Prof Pereira ialah Timbalan Pengarah & Penyelaras Program Bencana Iklim di Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI) dan Felo Utama serta Pensyarah di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI).

SEADPRI-UKM telah ditubuhkan pada bulan Jun 2008 untuk menangani cabaran penting pada pengurangan risiko bencana di rantau Asia Tenggara.

Prof Mohd Shafeea ialah seorang penyelidik di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) dan melakukan kajian di hutan Langkawi.

Beliau dilantik pengerusi Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) pada tahun 2005 sebelum menjadi Ketua Geologi Warisan Malaysia pada tahun 2006 yang menjalankan penyelidikan dalam membangunkan konsep pemuliharaan geologi yang memperkenalkan sumber geologi dan landskap sebagai komponen alam semula jadi untuk pemeliharaan.

Prof Ir Dr Mohd Jailani menjalankan penyelidikan dalam kejuruteraan sains, kejuruteraan mekanikal dan kejuruteraan akustik dan mengetuai projek dalam Pembangunan Instrumentasi MEMS dan Sistem Diagnostik untuk Applikasi Automotif. MEMS atau mikroelektromekanikal, ialah alat elektronik yang sangat kecil, di peringkat mikroskopik.

Prof Dr Normah Mohd mencebur diri dalam penyelidikan krio awetan atau cryopreservation dan pertumbuhan in vitro bagi spesis buah-buahan tropika (khasnya citrus, garcinia dan nephelium) dengan biji-benih rekalsitran yang telah memajukan lagi ilmu mengenai pemuliharaan di luar persekitaran atau ex situ dan pembiakan secara mikro spesies-spesies itu.

Beliau juga menyelidik sifat-sifat biji benih spesies baccaurrea dan krio simpanan biji benih. Usaha lanjutan juga dibuat untuk spesies nepenthes (mangkuk kera), sejenis spesies terancam, menguna krio pengawetan.

Prof Dr Salmaan H Inayat Hussain adalah penerima Felo Saintis Pelawat bagi Pertubuhan Untuk Menggalakan Sains Jepun (JSPS-VCC), dan Felo Sains Pelawat ke Chiba University, Kyoto University dan Okayama University, Jepun pada 2006. Beliau membuat kajian mengenai bahan toksik dalam Quinone, sejenis kelas sebatian organik yang diperolehi dari sebatian aromatik seperti benzen atau nafthalen.

Beliau juga adalah seorang anggota Badan Penasihat Institut Antarabangsa Universiti Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Kesihatan Dunia.

Prof Ir Dr Wan Ramli Wan Daud adalah pelopor teknologi selfuel di UKM. Beberapa jentera dengan kuasa selfuel telah dihasilkan Institut SelFuel dalam beberapa program menggunakan teknologi tenaga hidrogen.

Institut SelFuel diasaskan pada tahun 2005 sebagai suatu unit pentadbiran penyelidikan dan pembangunan yang bebas dalam UKM. Ia mula bergiat secara rasmi apabila Prof Wan Ramli dilantik sebagai pengarahnya pada 2007.

Institut itu adalah yang pertama di Malaysia yang menjalankan kajian serta mencipta enjin menggunakan tenaga selfuel dan tenaga hidrogen.