Latihan Mengenai Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa Di UKM Minggu Depan

KHAMIS, 12 JULAI 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 12 Julai 2012 – Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Delegasi Serantau Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) akan menganjurkan suatu Sesi Latihan mengenai Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) di ibu kota minggu depan.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Fakulti Undang-undang UKM berkata sesi latihan enam hari itu adalah yang ketiga ia bekerjasama dengan ICRC untuk menganjurkan acara tahunan demikian sejak 2010.

Seramai 30 orang peserta dari 14 buah negara termasuk China, Indonesia, Jepun, Myanmar, Brunei, Singapura, Negeri Thai, Korea, Filipina dan Malaysia dijangka menyertai sesi latihan itu.

Ia disediakan untuk mereka yang mengajar atau yang terlibat dengan dasar dan undang-undang antarabangsa khususnya yang bersangkutan dengan isu hak manusia termasuk pegawai kerajaan, angota polis dan tentera, media dan pertubuhan Palang Merah/Bulan Sabit Merah.

Ia juga bertujuan meningkatkan pengetahuan mengenai undang-undang yang boleh diguna pakai untuk menangani masaalah bersangkutan pertelingkahan bersenjata dan lain-lain perlakuan keganasan selain menguatkan kefahaman mengenai isu itu dikalangan ahli akademik, pegawai kerajaan serta mereka yang terlibat dengan kepentingan hak rakyat di rantau ini.

Berbagai persembahan mengenai undang-undang kemanusiaan dan usaha memperkasakan undang-undang kemanusiaan yang telah dilakukan untuk menangani isu itu baik oleh kerajaan, anggota akademik mahu pun pertubuhan kemanusiaan di rantau ini akan dikemukakan.

Antara perkara yang akan dibincangkan termasuk berbagai corak perlakuan keganasan, perlindungan ke atas mangsa yang kehilangan hak kebebasan mereka akibat keganasan dan pertelingkahan serta usaha yang boleh dilakukan untuk menghadapi keganasan serta penguatkuasaan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Mereka yang akan mengendalikan kursus itu termasuk Prof Harry Roque, Pengarah Institut Pengajian Undang-undang Antarabangsa dan Pusat Undang-undang Universiti Filipina, Prof Dr Rohimi Shapiee dan Dr Salawati Basir dari UKM, Prof Dr Ghafur Hami dan Prof Dr Mohd Naqib dari Universiti Islam Antarabangsa, Kol Zakaria dari Maktab Tentera di Raja dan Richard Desgagne dari Delegasi ICRC.

Prof Roque akan memberi suatu syarahan umum mengenai ‘Isu dan Cabaran Semasa Undang-undang  Kemanusiaan Antarabangsa’ di Fakulti Undang-undang UKM pada 17 Julai,

Penglibatan Fakulti itu dengan ICRC dalam sesi Latihan itu dianggap amat sesuai dan membolehkan kedua-dua institusi itu saling melengkapi dari segi pengetahuan dan kepakaran.

UKM sendiri telah terbabit dalam isu-isu kemanusiaan sejak penubuhannya pada tahun 1970.

Delegasi Serantau ICRC dan UKM telah bekerjasama dalam banyak kegiatan khususnya pengajaran dan penyelidikan mengenai undang-undang kemanusiaan sebelum hubungan mereka itu dimeterai secara rasmi melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada tahun 2010 untuk tempoh dua tahun hingga Oktober ini.