Malaysia Berjaya Bendung Ekstremisme Dengan Mengatasi Kemiskinan

SELASA, 17 JULAI 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 17 Julai 2012 – Malaysia sehingga kini telah berjaya meminggirkan ekstremisme di dalam negara kerana kemiskinan berleluasa telah dapat dibendung.

Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata apa yang perlu dikaji sekarang ialah mengetahui titik ambang ekstremisme sebelum ia boleh berlaku secara serius.

Beliau telah menyampaikan ucaptama ketika merasmikan Seminar Kebangsaan “Pengembangan Kelas Menengah Muslim dan Peminggiran Ekstremisme di Malaysia” yang di anjurkan Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB) di sini hari ini.

Prof Shamsul Amri berkata gejala itu lebih baik dibendung kerana hasrat remaja sekarang berbeza daripada jangkaan generasi 40 tahun lalu.

Segelintir orang Islam melakukan keganasan sebagai langkah terakhir apabila mereka menganggap tiada pihak yang sanggup memperjuangkan hak umat Islam.

Ekstremisme, katanya, tidak terdapat secara lumrah dikalangan umat Islam tetapi dilakukan sebagai bantahan akibat ketidak adilan dalam negara atau pun diperingkat antarabangsa.

Keganasan mungkin juga merupakan suatu cara golongan belia, yang beliau gelar “kelas baru”, melakukan untuk memperjuangkan kebebasan, di mana maksudnya berbeda dari sesebuah negara ke sebuah negara lain.

Bagi sesetengah pihak Muslimin, kebebasan bermakna penyingkiran kuasa-kuasa besar dan Israel dari campur tangan di Asia Barat tetapi ada pula yang memaksudkannya sebagai perubahan pentadbiran lama yang dianggap bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa seperti yang dilihat di beberapa negara Arab hingga membawa kepada penyingkiran kerajaan lama untuk digantikan pemerintah baru.

Di Malaysia terdapat kebimbangan tidak lama selepas Merdeka bahawa orang Melayu akan melakukan sesuatu yang buruk kerana mereka semakin terpinggir dari arus pembangunan ekonomi yang pesat.

Pada tahun 1966, kata Prof Shamsul Amri, Kongres Ekonomi Bumiputera yang berjaya menghimpunkan ramai cendekiawan Melayu telah meramalkan gegaran akan berlaku dalam negara kiranya beberapa langkah pembetulan sosio-ekonomi tidak dilaksanakan.

Langkah-langkah itu diterima masuk ke dalam dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Beliau berpendapat akan muncul suatu era pasca-DEB kerana banyak yang berubah bukan sahaja di negara lain, tetapi juga di Malaysia. Siapa sangka 20 tahun lalu bahawa gerakan kebebasan akan muncul di Eropah Timur yang mengakibatkan tamatnya era Kerajaan Soviet dan Perang Dingin.

Kini ekstremisme lebih kerap dilabelkan terhadap Islam kerana Barat khuatir dengan kekuatan ekonomi negara-negara pembekal minyak berikutan dengan suatu krisis pembekalan minyak pada tahun 1970an.

Dalam pada itu istilah ekstremisme pula mempunyai makna yang berbeza kepada masyarakat yang berlainan. Umpamanya, mereka yang berjuang untuk kerajaan baru di Mesir dan Tunisia mungkin dianggap wira oleh rakan-rakan mereka dan negara Barat hingga persepsi itulah yang diterima sebagai yang sah di seluruh Dunia, tidak kira sama ada ia betul atau salah.

Bagaimanapun, penyokong rejim lama atau sesetengah kerajaan di negara Arab lain menganggap mereka sebagai pelampau atau pengganas, kata Prof Shamsul Amri.

Sejumlah sembilan kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan sehari itu.