Pemaju Bangunan, Arkitek Disaran Pertimbang Keselamatan Kanak-kanak

RABU, 04 JULAI 2012 00:00 ADMINISTRATOR

Oleh Shahfizal Musa
Foto Norashikin Yusof

KUALA LUMPUR, 3 Julai 2012- Pemaju bangunan, arkitek dan jurutera disaran memberi pertimbangan sewajarnya kepada keselamatan kanak-kanak apabila mereka bentuk dan membangunkan sesebuah bangunan.

Ketua Bahagian Kecederaan Kebakaran Pediatrik Hospital Wanita dan Kanak-kanak Australia, Dr Anthony L. Sparnon berkata mereka itu perlu meletakkan keselamatan kanak-kanak sebagai keutamaan apabila mereka dan mendirikan sesebuah bangunan atau rumah.

Beliau membuat cadangannya itu ketika berucap di dalam satu program “Kempen Mesra Kanak-kanak,Keselamatan Kanak-kanak” di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Ceras di sini hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak mudah mengalami kecederaan apabila jatuh dari ketinggian kurang dari satu meter. Malangnya para arkitek masih menghasilkan reka bentuk rumah yang mempunyai pemegang tangga yang boleh menyebabkan kanak-kanak jatuh.

Dan di mana sahaja boleh dilihat wujudnya tempat berbahaya yang boleh menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak baik di pasar raya atau pun rumah.

Dr Sparnon berkat beliau berasa bertanggung jawab untuk melaporkan kepada pihak yang mendirikan sesuatu bangunan mengenai bahaya itu kerana puak arkitek dan jurutera tidak memberi perhatian kepada masaalah itu kerana tidak pernah memikirkan bahaya kepada kanak-kanak kasil usaha mereka.

Beliau kesal mereka hanya memikirkan sesuatu yang nampak cantik tanpa mengambil kira kemungkinan bahaya reka bentuk mereka yang boleh membawa maut kepada kanak-kanak.

Beliau berkata 15 % daripada kecederaan akibat jatuh adalah daripada ketinggian lebih dari satu meter. Ini tidak menghairankan melihat cara taman kanak-kanak dibina.

Kanak-kanak, katanya, suka memanjat dan bergayut apabila berada diketinggian lima meter atau lebih mereka akan penat hingga boleh menjejaskan koordinasi dan memungkinkan mereka jatuh dan mengalami kecederaan parah.

Kempen tersebut mengetengahkan statistik yang menakutkan tentang kecederaan kepada kanak-kanak yang terdiri daripada cedera di kepala, jatuh, lemas dan kejutan elektrik.

Kebanyakan daripada kejadian itu berlaku di rumah yang disangka sebagai tempat yang terselamat.

Mengikut statistik dari Hospital Kuala Lumpur, 55% daripada kecederaan di kepala kanak-kanak berlaku di rumah .

Presiden Persatuan Kesihatan Mesra Kanak-kanak Malaysia, Prof Dato’ Dr Mahmud Mohd Nor; Prof Dr Zarina Abdul Latiff dan Dr Dayang Anita Abdul Aziz dari Unit pembedahan pediatrik PPUKM, arkitek dan pemaju turut hadir di upacara itu.