Tocotrienol Berpotensi Menyekat Proses Penuaan?

RABU, 18 JULAI 2012 00:00

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 18 Julai 2012 – Tocotrienol suatu kompaun yang diperolehi dari minyak sawit didapati mungkin berpotensi untuk melambatkan proses penuaan.

Ini adalah suatu penemuan penyelidikan yang telah dijalankan sepasukan pelajar pasca siswazah dari Jabatan Biokimia, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penemuan yang masih di peringkat awal itu telah dilakukan mereka yang mendapati  Bahan Kaya Tocotrienol  (TRA) mampu mengembalikan pengecutan sel satelit yang terdapat dalam otot rangka badan manusia. Sel ini terdapat dalam otot yang menyokong kerangka badan.

Penemuan itu adalah satu daripada lebih 50 penemuan penyelidikan yang dipamerkan di Minggu Penyelidikan Perubatan dan Kesihatan ke-14 (MP14) yang sedang berlangsung di sini dari kelmarin (17 Julai).

Lim Jing Jye pelajar sarjana yang terlibat dengan penyelidikan itu berkata sel-sel satelit itu berkait rapat dengan proses penuaan kerana ia akan mengecut mengikut usia.

Penyelidikan itu dijalankan dengan menggunakan sel yang diambil dari bayi yang berumur lima hari. Sel itu kemudiannya didedahkan kepada keadaan dan situasi yang boleh menyebabkan penuaan.

Hasilnya, sel yang telah mengecut didapati pulih kembali ke saiz yang hampir sama dengan saiz asalnya apabila dirawat dengan TRA.

Pengerusi MP14, Prof Yasmin Anum Mohd Yusof dari Jabatan Biokimia apabila ditanya mengenai penemuan itu dalam sidang medianya berkata walaupun ia masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa seorang tua boleh dikembalikan menjadi muda tetapi penemuan itu mempunyai potensi untuk sekurang-kurangnya melambatkan proses penuaan

Proses penuaan tidak disenangi ramai kerana mereka takut menjadi beban dan terpaksa bergantung pada orang lain. TRA bukan sahaja mungkin memastikan usia yang lebih lanjut tetapi lebih pentingnya ialah menentukan kehidupan yang sihat.

Beliau berkata fokus harus diberikan kepada melanjutkan usia yang seiring dengan kesihatan yang baik dan bukan kepada nilai kecantikan.

Terdapat banyak lagi penemuan yang turut dipamerkan seperti bahan anti-oksidan dan anti ketumbuhan yang terdapat dalam halia (Zingiber officinale).

Terdapat juga penyelidikan yang tentunya menyenangkan hati pengemar belacan bertajuk “Penilaian risiko pengambilan  belacan tempatan”.

Belacan yang digunakan sebagai perisa dalam banyak makanan dan menjadi kegemaran ramai di negara ini dikatakan mempunyai kandungan arsenik dan logam plumbum yang melebihi tahap yang ditetapkan sebagai selamat oleh Akta Makanan Malaysia 1983 dan Peraturan Makanan 1985.

Bagaimanapun penemuan yang dibuat mendapati kadar arsenik dan plumbum tidak melebihi tahap yang ditetapkan oleh Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO) dan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO). Maka itu pengambilan belacan tidak boleh dianggap sebagai memudaratkan.

Lebih 200 peserta terdiri dari pelajar pasca siswazah dan pensyarah dari Fakulti-fakulti Perubatan, Pergigian, Sains Kesihatan dan Institut Perubatan Molekul mengambil bahagian dalam pameran itu.

Minggu Penyelidikan adalah inisiatif PPUKM untuk melengkapkan pensyarah dan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk memastikan mereka mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa .

Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah PPUKM, Prof Dato’ Dr Raymond Azman Ali, Timbalan-Timbalan Dekan Fakulti Perubatan, ketua-ketua jabatan, pelajar, doktor dan pensyarah turut hadir di upacara perasmian pameran itu.